PETALING JAYA: Belum pun
selesai kemelut kadar tambang bas sekolah, kini timbul pula isu
berhubung penamatan Skim Penggantian Bas Sekolah oleh Suruhanjaya
Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkuat kuasa 31 Disember lalu.
Skim tersebut diperkenalkan selaras pengumuman Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak pada Bajet 2013 bagi meringankan beban pengusaha
bas sekolah untuk menggantikan bas lama yang berusia melebihi 25 tahun
kepada bas baharu. Ia bagi menjamin keselamatan pelajar dan pengguna
jalan raya.
Berikutan penamatan skim itu, dikhuatiri 500,000 pelajar di seluruh
negara yang menggunakan kira-kira 5,000 perkhidmatan bas sekolah yang
berusia lebih 25 tahun akan berhadapan masalah untuk pergi dan balik
dari sekolah.
Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) Amali
Munif Rahmat berkata, jika tiada sistem baharu menggantikan skim
pinjaman tersebut, kira-kira 500,000 pelajar yang menggunakan
perkhidmatan tersebut akan terjejas.
Malah, katanya, seramai 5,000 pengusaha bas sekolah yang bergantung
sepenuhnya kepada perkhidmatan ini akan hilang punca pendapatan.
"Mereka yang sempat memohon skim tersebut sebelum tarikh akhir
mungkin terselamat. Tapi bagi mereka yang belum membuat permohonan,
mereka akan 'mati katak' kerana hilang punca pendapatan," katanya kepada
mStar Online.
Amali Munif berkata, tindakan tersebut dilihat akan mendorong
pengusaha bas sekolah beroperasi secara haram memandangkan kira-kira
5,000 bas sekolah sedia ada menghampiri usia 30 tahun.
"Mereka (SPAD) mahu sekat pengusaha bas sekolah haram tapi penamatan
skim tersebut akan menjejaskan kira-kira 5,000 pengusaha bas sekolah
yang memiliki bas sekolah menghampiri usia 30 tahun.
"Sudah tentu mereka akan beroperasi secara haram untuk terus mencari
rezeki kerana skim untuk menggantikan bas lama kepada bas baharu sudah
ditamatkan," katanya.
Menurutnya, beliau terkejut apabila dimaklumkan mengenai penamatan
skim tersebut menerusi surat daripada SPAD dalam tempoh kurang dua
minggu lalu.
"Kenapa maklumkan mengenai penamatan skim ini diberi dalam masa yang
singkat? Apa yang kita boleh buat dalam tempoh itu?," katanya.
Bagaimanapun, kata Amali Munif, SPAD memaklumkan skim tersebut akan
digantikan dengan sistem pinjaman baharu yang lebih komprehensif dan ia
akan dicadangkan kepada kerajaan terlebih dahulu.
"Buat masa ini, saya boleh katakan tiada penambah baikan daripada
SPAD terhadap perkhidmatan ini. Mereka bukan menyelesaikan masalah
tetapi memburukkan lagi keadaan," katanya.
Jelas beliau lagi, PPBSM akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu penamatan skim tersebut dalam masa terdekat.
"Perkara itu menimbulkan pelbagai persoalan sekarang. Jadi kita akan
duduk membincangkan susulan penamatan skim ini. Jika tiada jalan
penyelesaian, kira-kira 5,000 pengusaha bas ini akan terkapai-kapai.
Mereka dalam dilema sama ada mahu meneruskan perkhidmatan atau tidak,"
katanya.
Menerusi tinjauan
mStar Online di laman web badan itu,
maklumat mengenai skim tersebut memaklumkan tempoh permohonan berkuat
kuasa selama dua tahun bermula April 2013 dan akan berterusan sehingga
April 2015.
Skim tersebut diuruskan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan
pemberian rebat sebanyak RM10,000 dan bayaran kadar faedah tetap dua
peratus ke atas pinjaman untuk menggantikan bas sekolah lama yang
berusia melebihi 25 tahun kepada bas baharu.