"Dan Aku (Allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah Ku (Allah)"
surah ad-zariyyat : 56
"Jin itu wujud berdasarkan keterangan dari surah dalam Al-Quran di atas,
sapa yang menolaknya maka berdosa besarlah kerana telah menolak satu
ayat dari Al-Quran. berita pasal pertabalan jin ni aku tak pasti..sebab
aku tak pernah masuk dalam istana sultan perak.. kat chandan puteri tu..
tapi aku teringat balik waktu pertama kali ustaz aku ceritakan
pengalaman dia dan 39 rakan lagi untuk baca yassin dan sama-sama
menghalau jin yang berada di istana sultan perak..pelbagai larangan dan
pantang sekiranya korang pergi ke istana lama tersebut.tak percaya pergi
sendiri ye ;D. dan aku nak kongsi ngan korang macam mane proses
pertabalan jin ni.. hukum pun aku tak pasti.. maaf sangat.. korang boleh
rujuk yang lebih pakar tentang agama...."
TABAL JIN adalah merupakan suatu istiadat turun temurun bagi Salahsilah
Kesultanan Perak.Cuma di Negeri Perak ini sahaja yang ada istiadat TABAL
JIN didalam Tanah Melayu ini. Negeri Perak merupakan salah satu negeri
yang tertua dirantau ini dan Sultan yang memerintah biasanya didampingi
oleh JIN-JIN Islam. Disini kita akan melihat kedaulatan seseorang Sultan
itu, dimana baginda akan di NOBATKAN dahulu sewaktu hari pertabalan
baginda. Istiadat Tabal Jin ini biasanya dilakukan pada sebelah
senja/malam dan diterangi hanya oleh dian (lilin) sahaja.
Istiadat TABAL JIN dimulakan dengan paluan NOBAT DIRAJA pada sebelah
senja sehari selepas Istiadat TABAL ADAT disempurnakan. Istiadat ini
dilakukan pada waktu malam.
Selepas Jejawat Berlembing dan Jejawat Berpayung Ubur serta Jejawat
Perempuan, memegang kaki dian dan Bentara Perempuan membawa Perkakas
Istiadat Merenjis mengambil tempat masing-masing didalam Balairong Seri
didahului oleh Panglima Dalam dan diapit oleh Panglima Perang Kanan dan
Panglima Perang Kiri, dan dibelakang nya Pawang DiRaja menatang akan
PEDANG CURA SIMANJA KINI, bersama Toh Seri Nara DiRaja menatang PONTOH
BERNAGA dan PONTOH ULAR LIDI diatas talam berlapikkan kain kuning dan
diikuti oleh Sida-Sida. Biduanda-Biduanda menatang PERKAKAS KERAJAN
masuk ke Balairong Seri dan diletakkan kesemua diatas meja yang
disediakan di iringi dengan paluan NOBAT.
Selepas itu Pawang DiRaja dengan menatang PEDANG CURA SIMANJA KINI dan
Toh Seri Nara DiRaja menatang PONTOH BERNAGA dan PONTOH ULAR LIDI keluar
dari Balairong Seri didahului oleh Panglima-Panglima masuk ke Kamar
Persenangan lalu mempersembahkan kepada Kebawah Duli Paduka Seri Sultan.
Baginda kemudian diiringi berangkat ke Balairong Seri dengan iringan
paluan NOBAT 'Raja Berangkat'.
Apabila sampai di Singgahsana, Baginda Sultan akan bersemayam diatas
'Chior Keemasan' yang disediakan dihadapan Singgahsana. Kemudian Pawang
DiRaja mengadap dan mempersembahkan PEDANG CURA SIMANJA KINI kepada
Baginda Sultan yang akan meriba Pedang tersebut. Selepas itu PERKAKAS
KERAJAN dibawa mengadap oleh Sida-Sida dan Biduanda-Biduanda kehadapan
Baginda Sultan. Kemudian dikuti pula oleh Bentara Toh Ratna Senari dan
Bentara Toh Ratna Wati masuk mengadap membawa PERKAKAS ISTIADAT MERENJIS
dan dikuti pula oleh Toh Setia Guna (Ketua Nobat) bersama Ahli-Ahli
Nobat DiRaja masuk ke Balairong Seri memohon limpah perkenan Baginda
untuk meletak PERKAKAS NOBAT DIRAJA ditempat yang telah disediakan.
Kemudian 'Istiadat Memulih' PERKAKAS KERAJAN dan PERKAKAS NOBAT DIRAJA
dijalankan dan juga 'Merenjis Tepung Tawar'. Setelah selesai bacaan Doa
Selamat disempurnakan oleh Sahibul Mufti Kerajaan Negeri Perak.
Satelah selesai upacara 'Memulih Perkakas Kerajan dan Merenjis Tepung
Tawar', diikuti pula dengan 'Istiadat Bersiram Tabal' (Mandi Sampat)
dimulakan di PANCA PERSADA. Baginda Sultan dan isteri akan berangkat
dari Pintu Besar Istana. Pawang DiRaja memulakan 'Istiadat Mengelilingi
Balai Panca Persada' sebanyak tujuh kali dan dibantu oleh Bomoh dan
Pawang Tempatan dan Bentara-Bentara yang membawa 'Perkakas Merenjis'.
Sepanjang keberangkatan Baginda NOBAT dipalu sehingga Baginda bersemayam
diatas 'Perterakna Seri Panca Persada'.
Semua Putera dan Puteri baginda akan mengambil tempat di belakang
Perterakna serta diringi oleh Y.Bhg.Orang Kaya-Kaya Panglima Kinta Seri
Amar DiRaja, Y.Bhg. Orang Kaya-Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar
DiRaja dan Y.Bhg.Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan. Istiadat 'Merenjis
Tepung Tawar' disempurnakan diikuti dengan bacaan Doa Selamat oleh
Sahibul Samahan Mufti Kerajaan Negeri Perak.
Selepas itu 'Upacara Bersiram Tabal' (Mandi Sampat) pula dimulakan oleh
Pawang DiRaja sendiri dari awal hingga akhir keatas Perkakas Istiadat
Bersiram Tabal. Kain putih direntangkan dan daun nyiur muda bentuk jari
lipan ditaruhkan keatas kain putih yang diregang dan dipegang oleh
Toh-Toh Puan ditiap-tiap penjuru. Istiadat Bersiram Tabal dimulakan
dengan mengambil sebatil GELUK berisi Air Datu dan dicurahkan keatas
kain putih sehingga habis Enam Belas Batil GELUK yang berisi air. NOBAT
dipalukan sepanjang Istiadat Bersiram Tabal. Setelah selesai Istiadat
Bersiram Tabal, Baginda berdua akan menyalin pakaian dan berangkat turun
dari Seri Panca Persada berselimut dengan 'Kain Benang Emas
Kekuningan', dan diarak balik ke ISTANA.
Setelah menukar kepada Pakaian Kebesaran DiRaja, DYMM Paduka Seri Sultan
Perak akan berangkat masuk ke BALAIRONG SERI (NOBAT dipalu) dan
bersemayam diatas PETERAKNA SINGGAHSANA. Pawang DiRaja memulakan
'Istiadat Merenjis Air Panca Bicara' keatas PERKAKAS KERAJAAN yang sedia
ada terletak diatas meja dihadapan Singgahsana, 'Merenjis Tepung Tawar'
keatasa Baginda Sultan dan diikuti dengan meletakkan 'BUNGA PENCAWA
PENCARA' ditelinga Baginda
Pada waktu istiadat ini NOBAT DIRAJA akan memainkan lagu diantara empat
hingga sembilan lagu. Toh Setia Guna (Ketua Nobat) akan memerhatikan
gerak geri Paduka Seri Sultan ketika paluan NOBAT dipalukan. Dari sini,
kedaulatan seseorang Sultan itu akan dapat diketahui. Mengikut adat,
sekiranya Baginda dapat bertahan lama diatas Singgahsana (iaitu dapat
bertahan sehingga tujuh lagu keatas dipalukan oleh NOBAT) ini
menunjukkan pertabalan Baginda telah direstui oleh JIN-JIN KERAJAAN dan
Baginda akan memerintah Negeri Perak ini lama atau pun panjang umur.
Akan tetapi sekiranya Baginda hanya dapat bertahan empat atau lima lagu
sahaja...petandanya umur Baginda mungkin pendek. Toh Setia Guna akan
memberi isyarat kepada Ahli Nobat supaya memberhentikan paluan NOBAT
apabila melihat Baginda Sultan dalam keadaan 'resah gelisah' diatas
Peterakna Singgahsana.
Sewaktu NOBAT dipalukan, PEDANG CURA SIMANJA KINI akan 'bergerak-gerak'
dengan sendirinya (dimana seakan-akan hendak keluar dari sarungnya). Ini
menunjukkan JIN KERAJAAN berserta dalam ISTIADAT TABAL JIN ini dan
pertabalan Baginda Direstui. Istiadat TABAL JIN selamat disempurnakan
selepas upacara 'SANTAPAN NASI BERAS TANOKA' dijalankan dengan bacaan
doa selamat.
(Peringatan : Ada pun upacara 'Istiadat Tabal Jin' ini hendaklah
disempurnakan mengikut Adat Istiadat Pertabalan yang asalnya....ia itu
mengikut cara yang dilakukan dari turun temurun tanpa menukarkan
ciri-ciri adat yang asal.... barulah sempurna dan dapat di ketahui sama
ada direstui oleh JIN KERAJAAN Perak yang akan mendampingi Baginda.
Kalau tidak Istiadat Upacara tersebut hanya lah merupakan suatu Istiadat
Biasa sahaja.... tiada berkeraajan....)
Tabal Adat
Istiadat Tabal Adat adalah upacara pertabalan rasmi di mana Raja
Pemerintah baru akan ditabal secara rasmi mengikut adat resam yang
turun-menurun dan dengan penuh gilang-gemilang. Istiadat ini
dilangsungkan di dalam Balairong Seri, Istana Iskandariah dengan
keberangkatan hadir wakil-wakil Sultan dan Raja Pemerintah Negeri yang
lain dari Semenanjung Malaysia serta Negara Brunei Darussalam. Juga
diundang hadir adalah Menteri Besar, orang besar-besar, wakil rakyat dan
orang kenamaan. Perkakas-perkakas Kerajaan termasuk senaskah kitab
Al-Quran akan dibawa masuk ke dalam Balairong Seri. Pedang Cura Si Manja
Kini, iaitu pedang Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, akan
dipersembahkan kepada Raja Pemerintah baru. Ketua bentara, Toh Seri Nara
Diraja, turut mempersembahkan Mastika Embun serta menyunting Cap
Halilintar pada telinga kanan Paduka Seri Sultan baru sambil membisik
Ciri yang dikenali sebagai 'Rahsia Nisab Sultan I' kepada Paduka Seri
Sultan itu. Selepas itu, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja membaca
Perisytiharan Pemasyhuran Pertabalan Paduka Seri Sultan.
Nobat memainkan lagu 'Nobat Tabal'. Susulan daripada itu, Paduka Seri
Sultan perkenan memasyhurkan penganugerahan gelaran 'Raja Perempuan'
kepada isteri baginda sekiranya berketurunan Raja ataupun gelaran 'Raja
Permaisuri' sekiranya berketurunan orang kebanyakan. Bunga pencawa
pancara disemat oleh Paduka Seri Sultan pada ulu sebelah kanan isteri
baginda. Perisytiharan Pemasyhuran Raja Perempuan juga dibaca oleh Orang
Kaya Bendahara Seri Maharaja. Pakaian bagi istiadat ini adalah lengkap
dengan bertengkolok. Bintang-bintang dan pingat-pingat kurniaan juga
dipakai bersama.
Tabal Pusaka
Istiadat Tabal Pusaka mengandungi beberapa istiadat kecil termasuk
Istiadat Memasak Tiang Seri Panca Persada, Istiadat Mengambil Air
Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak, Istiadat Pemulihan
Perkakas-perkakas Kerajaan, Istiadat Bersiram Tabal dan Istiadat
Menyantap Nasi Berastakona.
Istiadat Memasak Tiang Seri Panca Persada
Istiadat Memasak Tiang Seri Panca Persada merupakan adat yang dijalankan
sebelum tiang utama Panca Persada daripada kayu khas bernama 'Sungkai'
dipasakkan. Pada zaman dahulu, Panca Persada dibangunkan di pertengahan
Sungai Perak, akan tetapi sekarang ianya didirikan di pekarangan Istana
Iskandariah. Berbentuk empat persegi setinggi 9 atau 11 tingkat, ianya
dikisar sekelilingnya dengan tangga. Di kemuncaknya terletaknya tempat
bersemayam Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan yang berbumbung. Siling
dan tiang dibalut dengan kain kuning. Di sekiling tingkat digantung
dengan daun budi dan tingkat kemuncak diulas dengan kain keemasan.
Lazimnya, istiadat ini cuma dihadiri oleh orang besar-besar, pawang-pawang, panglima-panglima dan bentara-bentara sahaja.
Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak
Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak juga
merupakan salah satu adat yang unik. Istiadat ini dimulakan dengan
perarakan berkereta yang memuatkan pasukan Nobat Diraja,
panglima-panglima, Toh Seri Nara Diraja dan Raja Cik Muda bersama-sama
dengan tujuh orang bomoh yang lain, bentara-bentara yang membawa
perkakas istiadat, dan enam belas jejawat berlembing dari Istana
Iskandariah hingga ke tebing Sungai Perak. Nobat akan dipalukan
sepanjang istiadat ini. Di tebing sungai, perkakas istiadat dibawa naik
ke atas bot.
Raja Cik Muda, Toh Seri Nara Diraja dan bentara-bentara menaiki bot
serta bermula mengambil air dari kuala Sungai Kangsar. Rombongan
bergerak ke kuala-kuala sungai lain, iaitu Sungai Chepias, Sungai
Sayong, Sungai Hitam, Sungai Chermin, Sungai Bunya dan Sungai Menora,
untuk mengambil air serta dimasukkan ke dalam geluk.
Istiadat Tabal Pusaka
Istiadat Tabal Pusaka, yang dahulunya dikenali sebagai Istiadat Tabal
Jin, berlangsung di dalam Balairong Seri dan di Panca Persada. Istiadat
ini disempurnakan pada waktu malam dan disaksikan oleh kerabat-kerabat
diraja rapat, orang besar-besar serta pemimpin-pemimpin negeri. Pakaian
majlis ini adlah baju Melayu hitam, bertengkolok hitam dan bersamping
kain benang emas tetapi tidak memakai bintang-bintang kurniaan. Istiadat
ini bermula di Balairong Seri, dan para undangan dipandu ke tempat
duduk di Balairong Seri. Istiadat dimulakan dengan paluan nobat. Antara
perkakas kerajaan yang dibawa masuk ke dalam Balairong Seri ialah pedang
'Cura Si Manja Kini', Pontoh Bernaga dan Pontoh Ular Lidi yang
dipersembahkan kepada Sultan. Istiadat ini diikuti dengan Istiadat
Memulih Perkakas Kerajaan dan Perkakas Nobat, dan selepas itu, Istiadat
Bersiram Tabal disempurnakan di atas Panca Persada di pekarangan istana.
Apabila Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan berangkat tiba di kawasan
Panca Persada, Raja Cik Muda akan memulakan Istiadat Mengelilingi Balai
Panca Persada sebanyak tujuh kali bersama-sama dengan para bomoh dan
bentara yang membawa perkakas merenjis. Baginda Paduka Seri Sultan dan
Raja Perempuan menaiki Panca Persada, diiringi oleh Raja Muda dan Raja
Di Hilir serta isteri mereka, dan diikuti oleh orang besar-besar serta
isteri.
Sebaik sahaja Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan selamat bersemayam
di atas kemuncak Panca Persada, Raja Cik Muda memulakan Istiadat
Bersiram Tabal. Air siram adalah air daripada tujuh kuala Sungai Perak
yang telah dibekaskan pada Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal dua
atau tiga hari terlebih dahulu. Selesai sudah istiadat ini, baginda
berdua berangkat turun dari Panca Persada berselimut dengan kain benang
emas serta dipandu berangkat balik ke istana diringi dengan paluan
nobat. Setelah menyalinkan pakaian, Paduka Seri Sultan dan Raja
Perempuan berangkat masuk ke dalam Balairong Seri semula, dan bersemayam
di atas petarakna singgahsana. Istiadat Merenjis Air Panca Bicara
dilangsungkan, dan setelah selesai istiadat itu diikuti pula Istiadat
Santapan Nasi Berastakona.
Sumber http://deathnota.blogspot.com/