Bom Meletup di Bukit Bintang, Seorang Maut, 13 Cedera Parah






Kuala Lumpur: Seorang lelaki maut manakala 13 lagi cedera selepas terkena bom yang dibaling dari tingkat dua di Sun Complex, Bukit Bintang, hari ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 4.25 pagi.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian polis mendapati 12 lelaki dan dua wanita yang berada di lokasi kejadian cedera di mana seorang daripada mereka mengalami kecederaan parah.

"Siasatan awal mendapati bahan letupan itu dipercayai dibuang dari tingkat dua kompleks ini. Kita sedang mengenal pasti bahan letupan itu.
FotoDUA bahan letupan dibuang dari tingkat dua di mana satu tidak meletup dan ditemui di bawah kereta.

"Setakat ini dua bahan letupan dibuang dari tingkat dua di mana satu tidak meletup dan ditemui di bawah kereta Toyota Camry," katanya.

Khairi berkata, pihaknya akan menyiasat motif kejadian dan akan semak latar belakang mangsa untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Senjata dan 307 Kanun Keseksaan. - MYMETRO