PETALING JAYA: Pelakon A Galak memberitahu kekurangannya muncul dalam drama dan filem selain Gerak Khas adalah disebabkan dirinya dianggap tidak relevan untuk memegang watak selain anggota polis.
A Galak atau nama sebenarnya, Zakaria Ahmad, 74, berkata, biarpun sudah 13 tahun terlibat dalam drama kepolisan itu, namun dia juga mampu membawakan watak lain jika diberi peluang.
"Saya boleh bawa watak lain selain jadi anggota polis sebelum ini pun saya banyak bawa watak jahat seperti dalam filem Azura, Darah Satria dan Bayangan Maut.
"Mungkin saya sudah tidak relevan lagi, itu yang dia orang tidak panggil saya berlakon, selain itu produksi luar juga menyangka saya hanya bekerja dengan Skop Production sahaja. Tapi sebenarnya syarikat itu sahaja yang beri tawaran lakonan kepada saya," ujarnya kepada mStar Online.