Cukai Selebriti Cantik







Baru-baru ini seorang selebiriti wanita Malaysia telah menyuarakan hasrat agar Kerajaan dapat memberikan pelepasan cukai berkaitan aspek penampilan diri kepada golongan selebriti di Malaysia.
Cadangan selebriti ini telah menerima pelbagai pandangan, ada yang membantah dan ada yang menyokong. Namun, kita melihat bagaimana selebriti kita sebenarnya cuba memperjuangkan hak mereka, walaupun hak yang disuarakan oleh selebriti berkenaan cukup remeh dan tidak setimpal.
Keadaan ini jelas berbeza pada sekitar tahun 1950an dahulu apabila golongan seniman di Malaysia berjuang bukan untuk hal-hal remeh seperti ini, tetapi perjuangan mereka adalah soal hidup dan mati, soal makan dan kelaparan, soal kelangsungan hidup! Lebih hebat apabila tuntutan mereka tidak didengari, golongan Seniman ini akan melancarkan mogok!
Mogok merupakan kaedah yang sering digunakan golongan pekerja untuk menuntut hak-hak yang disifatkan setimpal oleh mereka berdasarkan kepada kerja-kerja yang telah dilakukan. Mogok dalam istilah mudah seperti yang ditunjukkan di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat membawa makna tidak mahu bekerja. Kebiasannya mogok ini digerakkan secara bersama-sama dan melalui tindakan organisasi.

Kemunculan kesatuan sekerja di Tanah Melayu bermula sekitar tahun 1900 dan di antara mogok terawal yang pernah berlaku adalah sekitar tahun 1930an yang kemudian melahirkan gerakan buruh yang lebih besar termasuk penubuhan Pan Malayan Federation of Trade Union.
Penyusupan ideologi sosialisme sebenarnya merancakkan lagi senario perjuangan golongan pekerja khususnya di Tanah Melayu. Kemunculan gerakan buruh ini bukan sahaja berlaku di kilang-kilang yang menjana perusahaan komoditi, tetapi turut dirasai kesannya dalam industri perfileman Melayu klasik.
Hal gerakan buruh dan mogok dalam industri filem Melayu khususnya di Malay Film Production adalah berkisar kepada soal kebajikan pekerja filem termasuk krew teknikal, pengarah dan pelakon sendiri. Hal-hal kebajikan ini termasuklah soal gaji, suasana kerja dan faedah-faedah lain yang difikirkan wajar diperolehi mereka. Menurut Hamzah Hussin dalam Memoir Hamzah Hussin: Dari Keris Filem Ke Studio Merdeka (Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2004) telah menyebut mengenai penubuhan Persatuan Artis Malaya (PERSAMA) pada 20 April 1954.
Menurut Hamzah, PERSAMA mempunyai undang-undang tubuh sebagai sebuah kesatuan buruh dan Persatuan ini melihatkan P.Ramlee menjadi perintis awal dan Salleh Ghani dilantik sebagai Setiausaha Agung. Objektif utama penubuhan PERSAMA ini ialah untuk menentang penindasan dan penekanan majikan terhadap pelakon dan pekerja filem. Ini jelas melihatkan bahawa pekerja-pekerja industri filem turut berdepan isu yang sama dihadapi oleh kelompok pekerja biasa yang membanting tulang di kilang-kilang dan ladang-ladang.
Pengabaian kebajikan dan soal penindasan mula muncul sekitar tahun 1950an dan akhbar The Singapore Free Press pada 10 Mac 1955 telah melaporkan mengenai enam orang Penolong Pengarah filem yang memaklumkan mereka telah dibayar dengan gaji yang tidak setimpal dan rendah.
Keenam-enam mereka yang berkhidmat di Malay Filem Production bagaimanapun tidak dinamakan di dalam laporan akhbar berkenaan. Menurut akhbar berkenaan mereka hanya menerima gaji bulanan maksimum sebanyak $210 dan paling rendah ialah $180. Mereka juga dilaporkan hanya menerima bonus bulanan sebanyak $50.
Sebagai respons kepada bayaran rendah berkenaan mereka menuntut agar diberikan kenaikan gaji sehingga 25 peratus dan bonus dinaikkan kepada $200. Menurut mereka gaji yang setimpal amat perlu memandangkan mereka perlu membantu pengarah melaksanakan kerja-kerja penggambaran, suntingan, rakaman semula dan sebagainya.
Mogok besar-besaran dalam industri filem Melayu berlaku di Malay Film Production pada sekitar Mac 1957. Menurut akhbar The Straits Times bertarikh 4 Mac 1957 langkah berkenaan diambil oleh PERSAMA selepas pihak Shaw Brothers memecat aktres Musalmah Nooralim, pelakon dan pengarah Omar Rojik dan penolong pengarah, Rohaizat yang juga merupakan Naib Presiden PERSAMA.
Menurut Salleh Ghani seperti dipetik akhbar berkenaan pemecatan berkenaan berlaku selepas PERSAMA membuat keputusan dalam satu mesyuarat untuk meminta pihak pengurusan Malay Film Production memberikan gaji yang lebih baik dan bonus yang lebih tinggi.
Menurut Salleh Ghani dalam laporan akhbar berkenaan, pihak PERSAMA telah selesai mendraf skala gaji untuk pelbagai kategori pekerja di studio yang akan melihatkan struktur gaji lebih baik bakal memberi manfaat kepada semua pekerja. Selain itu, ketiga-tiga mereka yang dipecat juga merupakan individu yang aktif di dalam PERSAMA dan dilihat boleh menggugat pihak majikan.
Selepas beberapa hari dua lagi pekerja filem menerima nasib yang sama dan turut dipecat. Kedua-duanya ialah Syed Hassan Al-Sahab dan S. Kadarisman. Pihak Shaw Brothers menganggap kelima-lima pekerja filem berkenaan dipecat kerana kerja mereka tidak memuaskan hati dan dilihat cuba melawan majikan. Sehubungan itu, desakan untuk mengambil semula mereka tidak akan dilayan.
Rohaizat seperti dipetik dalam akhbat The Straits Times bertarikh 7 Mac 1957 memaklumkan bahawa PERSAMA telah memutuskan untuk mengadakan mogok pada 16 Mac 1957, jika tuntutan mereka untuk menarik semula pemecatan kelima-lima pekerja filem berkenaan tidak diendahkan oleh pihak Studio.
Menurut Rohaizat, 120 pekerja filem termasuk penolong pengarah, juruteknik, kru dan penulis lagu akan terlibat dalam mogok berkenaan. Namun, pekerja-pekerja kontrak tidak akan mengambil bahagian.
Ketika Tanah Melayu sedang sibuk menguruskan kemerdekaannya, delegasi PERSAMA yang diketuai P.Ramlee telah bertemu dengan Ketua Menteri Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman untuk meminta beliau campurtangan dalam penyelesaian pertikaian di antara pihak PERSAMA dan Shaw Brothers. Perkara ini telah dilaporkan oleh akhbar The Straits Times pada 14 Mac 1957.

Delegasi berkenaan telah memberitahu Tunku bahawa lima rakan mereka telah dipecat dan pihak Studio enggan membuka sebarang pintu rundingan. Dalam pertemuan berkenaan Tunku telah menasihati pihak PERSAMA agar tidak melakukan apa-apa tindakan yang dilihat ekstrem dan meminta supaya jalan rundingan dibuat. Namun begitu, PERSAMA tetap bertegas untuk meneruskan mogok jika tiada sebarang tindakan penyelesaian dapat dipersetujui.
Pihak Shaw Brothers ternyata tidak senang dengan tindakan PERSAMA dan mereka telah mengeluarkan amaran kepada mana-mana pekerja filem yang terlibat dengan mogok yang dijadualkan pada 16 Mac 1957 akan dipecat serta-merta. Pertikaian ini juga mendapat perhatian Jabatan Buruh dan kedua-dua pihak telah dijemput untuk mengadakan rundingan secara terbuka, namun pada peringkat awal rundingan berkenaan menemui jalan buntu.
Sebagai memperhebat lagi usaha untuk meneruskan mogok, PERSAMA telah merancang untuk mengadakan Majlis persembahan selama dua malam yang dikenali sebagai ‘Malam Suka Duka’ di Stadium Happy World. Seramai 23 pelakon termasuk P.Ramlee terlibat dalam persembahan berkenaan. Majlis ini bertujuan untuk mengutip dana bagi melancarkan mogok yang telah dijadualkan sebelum ini.
Seperti yang telah dirancang dan disebabkan segala rundingan menemui kegagalan maka PERSAMA telah melancarkan mogok di Malay Film Production. Mogok ini melibatkan 120 pekerja filem. Susulan daripada mogok berkenaan, pihak Shaw Brothers melalui jurucakapnya T.K. Lee meminta untuk semua pekerja filem memberikan kerjasama penuh kepada pihak Studio.
Menurut T.K. Lee, syarikat mengalami kerugian saban tahun kerana proses pembikinan filem melalui suasana sukar kerana kos produksi yang tinggi dan gaji yang dibayar kepada semua pekerja termasuk pelakon mencecah $36,000. Kos berkenaan tidak termasuk bayaran kerja lebih masa dan bonus.
Pihak Shaw Brothers menganggap walaupun gaji yang diberikan mencukupi, namun jumlah filem yang berjaya diterbitkan pada tahun 1956 adalah rendah dan pihak Shaw Brothers menganggap perkara ini terjadi kerana pekerja-pekerjanya tidak bekerja dengan cukup dedikasi. Pihak Shaw Brothers juga menganggap pihak pekerja seperti tidak mahu mendengar masalah yang dihadapi pihak Studio.
Pihak Shaw Brothers juga dilihat cuba mengheret kerajaan untuk turut bersama-sama dalam kancah pertikaiannya dengan pekerja sendiri. Seperti dilaporkan akhbar The Straits Times pada 21 Mac 1957, Malay Film Production yang terkesan akibat mogok yang dilancarkan PERSAMA, dilihat cuba menarik simpati kerajaan apabila menyebut agak sukar untuk industri filem Melayu terus berdiri teguh, kecuali pihak kerajaan dapat memberikan subsidi untuk membantu studio-studio filem.
Sepanjang mogok berlangsung, proses rundingan tetap berjalan dan akhirnya Tunku Abdul Rahman bersetuju menghantar wakilnya, Senu Abdul Rahman untuk berbincang dengan pihak pekerja dan majikan dan mencari jalan penyelesaian. Akhirnya setelah 23 hari bermogok, PERSAMA bersetuju untuk menghentikan mogok dan mencari jalan damai dengan majikan mereka. Usaha wakil Tunku sememangnya dihargai oleh kedua-dua pihak.
Salleh Ghani mengucapkan terima kasih di atas kerjasama dan inisiatif yang diambil oleh Senu Abdul Rahman dalam menyelesaikan pertikaian ini. Senu dalam laporannya kepada Tunku, turut menganggap pemilik Malay Film Production, Run Run Shaw sebagai seorang yang ikhlas dan memberi kerjasama penuh untuk mengatasi masalah mogok ini.
Dalam persetujuan yang dicapai, Run Run Shaw bersetuju untuk mengambil semula lima pekerja filem yang dipecat dan beliau menggesa mereka untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak studio. Beliau juga memutuskan untuk menamatkan kerja lebih masa dan semua pekerja filem termasuk pelakon perlu melapor diri tempat pada masa.
Selepas persetujuan dicapai, pihak PERSAMA juga memberi jaminan akan terus menghasilkan lebih banyak filem yang bermutu pada masa akan datang.
Isu pergeseran di antara pekerja filem dan pengurusan studio Malay Film Production tidak berakhir di situ malah ketidakpuasan hati itu sentiasa ada dan terus berlarutan. Pada tahun 1963 misalnya, sekumpulan pekerja filem di Malay Film Production menuntut pihak studio memberikan perhatian kepada taraf hidup mereka yang disifatkan tidak berada dalam keadaan baik.
Pekerja filem telah mengadakan pertemuan dengan Kesatuan Pekerja-Pekerja Umum Singapura dan mahukan satu perjanjian diadakan di antara pihak majikan mereka dan Kesatuan. Langkah ini diambil bagi memastikan hak-hak pekerja filem sentiasa terpelihara.
Tahun 1963 juga melihatkan pergeseran pekerja dan majikan kembali hangat dengan insiden ugutan Haji Mahadi bahawa para seniman di Malay Film Production akan mengoyakkan kontrak mereka jika pihak Shaw Brothers masih gagal untuk memelihara hak dan kepentingan seniman. Pergeseran ini juga menyebabkan penggambaran beberapa buah filem terjejas termasuk Darah Muda arahan Jamil Sulong.
Namun begitu, pergeseran ini tetap dapat diselesaikan melalui jalan perjanjian. Walaupun segala-galanya nampak seperti dapat diselesaikan, namun hal-hal berkaitan penindasan ini terus berbangkit sehingga studio Malay Film Production ditutup pada tahun 1967. Soal tuntutan pekerja filem ini dilihat seperti tidak dapat menemui penyelesaian yang jujur, walaupun beberapa siri perjanjian telah dimuktamadkan.
Penutupan studio dan kegagalan majikan memenuhi hak serta keperluan pekerja filem merupakan tragedi yang sebenarnya memberikan kesan besar terhadap perkembangan dunia perfileman Melayu.
Lihatlah bagaimana Seniman dahulu menegakkan hak dan kelangsungan hidup mereka. Mereka melawan, walaupun mereka tahu sukar untuk menang. Hal berlawan golongan seniman ini bukan untuk mendapatkan hak membeli alat solek pada harga yang rendah, hal berlawan mereka adalah untuk mendapatkan bayaran yang setimpal untuk kerja seni mereka yang telah diusahakan dengan penuh semangat.
Seniman bukan sahaja melawan dengan bermogok, seniman juga melawan dengan medium yang arif bagi mereka. P.Ramlee misalnya memaparkan hal melawan penindasan terhadap seniman di dalam filem agung beliau berjudul Seniman Bujang Lapok.
P.Ramlee membuktikan bahawa beliau ialah seniman yang sejati, seniman yang melawan penindasan dan kebobrokan yang berlaku dalam industri perfileman melalui filem.
Inilah kelebihan P.Ramlee, halus dalam kritikan terhadap apa yang berlaku di sekeliling beliau. P.Ramlee memberikan kita contoh terbaik, seseorang seniman itu perlu peka terhadap apa yang terjadi di sekelilingnya dan seniman wajar menggambarkan hasil kepekaan ini dalam karya-karya mereka. Seniman tidak wajar menjauhkan diri daripada masyarakat dan masalah-masalah yang dihadapi masyarakat
Seniman Bujang Lapok memaparkan realiti kehidupan seniman pada ketika itu. Seniman tinggal di dalam bilik sahaja dan bukannya rumah mewah, seniman hanya menggunakan beca dan basikal bukannya kereta atau motosikal, seniman terpaksa meminjam duit untuk berkahwin, seniman tiada duit yang cukup untuk makan tengahari dan makan malam dan seniman terpaksa beratur untuk membuang air besar. Pemaparan sebegini merupakan kepahitan kehidupan seniman yang dijelmakan kesan daripada pendapatan yang rendah dan hak-hak yang tidak terpelihara dengan baik. Seniman Bujang Lapok ialah protes, mogok dan lawan yang diaturkan untuk melawan penindasan pekerja filem melalui filem.
Seniman itu harus berani dalam tindaknya, bercakap hal-hal realiti dan memadam angan-angan palsu. Perjuangan seniman itu jangan dipagari dengan hal-hal remeh yang menyakitkan hati rakyat membacanya.

DANIYAL KADIR