Negara: Najib beri penghormatan terakhir pada Almarhum Sultan Perak


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Perak Sultan Azlan Shah, yang mangkat semalam.

Najib yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke China, tiba di Balairong Seri Istana Iskandariah, Bukit Chandan di Kuala Kangsar pada jam 9 pagi dan akan kembali ke Beijing untuk menyambung lawatan enam hari yang bermula Selasa sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
    
Beliau diiringi Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan turut bertemu kerabat diraja Perak untuk merafak sembah ucapan takziah atas kemangkatan baginda.
    
Istiadat penghormatan terakhir dimulakan dengan kumpulan orang awam dari pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi sebelum disusuli orang kenamaan, menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri dan perwakilan asing dari jam 11.45 pagi hingga 1.15 tengah hari.

Ini diiikuti Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua Negeri, Ketua Negara dan Ketua Kerajaan dari 1.30 tengah hari hingga 2.15 petang.
    
Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada pukul 1.30 tengah hari semalam dan jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar hari ini.
    
Jenazah baginda kini disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir.
    
Baginda memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan pada 3 Februari 1984.

Sementara itu, suasana sedih jelas terasa tatkala rakyat jelata tiba di pekarangan Istana Iskandariah di Kuala Kangsar pagi ini untuk menziarahi jenazah Almarhum Sultan Perak Sultan Azlan Shah.   

Anggota masyarakat pelbagai lapisan dilihat tiba di pekarangan Istana Iskandariah seawal jam 8.30 pagi dan dibenarkan masuk ke balairung seri, tempat jenazah Almarhum disemayamkan, setengah jam kemudian untuk memberi penghormatan terakhir.
    
Istiadat penghormatan orang awam ini berlangsung dari pukul 9 hingga 11.30 pagi dan akan disusuli orang kenamaan, menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri dan perwakilan asing bermula 11.45 pagi hingga 1.15 tengah hari.

Sesi penghormatan terakhir untuk raja-raja Melayu, yang dipertua negeri, ketua negara dan ketua kerajaan pula akan bermula 1.30 tengah hari hingga 2.15 petang.
    
Terdahulu, lapan pegawai daripada pasukan Polis Diraja Malaysia dan ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia mengusung keranda jenazah Almarhum yang dilitupi kain songket berwarna kuning diraja, memasuki balairung seri sebelum diletakkan di atas peterana tiga anak tangga, juga berwarna kuning diraja, berhadapan singgahsana.
    
Ini disusuli perarakan masuk darjah-darjah kebesaran baginda oleh 11 pegawai daripada pasukan keselamatan. Darjah-darjah kebesaran terbabit diletak di atas bantal berwarna kuning diraja yang kemudian disusun mengelilingi keranda.
    
Menyusuli mereka 36 jejawat yang membawa payung kebesaran diraja.
    
Alunan ayat-ayat suci al-Quran diperdengarkan oleh beberapa kumpulan termasuk pelajar tahfiz, anggota kariah beberapa buah masjid dan Jabatan Agama Islam Perak pada sepanjang masa di balairung seri itu.
    
Terdahulu, Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah, Raja Puan Besar Tuanku Zara dan kerabat diraja berangkat tiba di balairung seri itu.
    
Turut berada di dewan itu ialah Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta pembesar-pembesar negeri.
    
Rakyat jelata pelbagai kaum yang rata-rata berpakaian serba hitam sebagai tanda berkabung, kemudian menuju ke peterana tempat disemayamkan jenazah Almarhum, dan membacakan doa mengikut kepercayaan agama masing-masing sebelum berjalan keluar meninggalkan balairung seri.

Di KUANTAN,  bendera negeri Pahang dan bendera Persekutuan akan dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bermula hari ini sebagai tanda berkabung atas kemangkatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah semalam.
    
Dalam satu kenyataan ringkas, Unit Protokol Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang berkata pengibaran bendera separuh tiang itu adalah titah daripada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

- Bernama