Pemilihan
semula Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Kota Raja hari ini dicemari
suasana tegang serta aksi pergaduhan, seolah-olah menunjukkan parti itu
dianggotai ramai gengster dan samseng.
Ketegangan
bermula pada kira-kira pukul 4.15 petang apabila salah seorang pengundi
dikatakan cuba mensabotaj proses pemilihan dengan merosakkan peti undi.
Tindakan lelaki
itu menyebabkan suasana dalam Dewan Serbaguna Klang Jaya, Taman Desawan
di sini kecoh sehingga dapat didengari para penyokong di luar dewan.
Suasana menjadi
panik apabila beberapa petugas urus setia meluru keluar dewan dan
mengarahkan pintu bangunan itu dan pagar ditutup.
Arahan
berkenaan menyebabkan para penyokong cuba masuk tetapi dapat dihalang
petugas urus setia, namun ada di antara mereka berjaya meloloskan diri
dengan memanjat pagar.
Di luar dewan, suasana cukup tegang antara para penyokong termasuk adegan membaling kerusi.
Bagaimanapun,
kecekapan anggota-anggota polis berjaya mengawal keadaan daripada
menjadi lebih serius, malah tiada peti undi dilaporkan rosak. Sebanyak dua pengundi dan penyokong cedera dengan luka pada kepala.
Berikutan
kekecohan tersebut, proses pemilihan semula cabang berkenaan yang
sepatutnya tamat pada pukul 5 petang diawalkan kira-kira 25 minit. Peti-peti undi kemudian dibawa ke Ibu Pejabat PKR dengan diiringi kereta peronda polis.
Usaha media
untuk mendapatkan penjelasan daripada beberapa urus setia dan pemimpin
PKR yang hadir gagal kerana masing-masing enggan mengulas kejadian
tersebut.
Sebelum itu,
kekecohan sudah pun berlaku sejak proses pemilihan bermula, antaranya
apabila beberapa pengundi yang sedang mengundi di dalam dewan diarah
keluar oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr. Xavier
Jayakumar yang juga penyandang jawatan ketua cabang Kota Raja pada
kira-kira pukul 11.30 pagi.
Pengundi
terbabit diminta menyemak semula nama dalam senarai berdaftar oleh
Xavier yang mengesyaki mereka sebagai 'pengundi hantu'.
Dakwaan tersebut membuatkan beberapa penyokong berang dan ada yang melemparkan rasa tidak puas hati kepada Xavier.
Salah seorang
penyokong, K. Krishnan, 55, memberitahu, dia mempersoalkan tindakan
Xavier itu yang dilihatnya seperti menyalahgunakan kuasa wakil rakyat.
"Apa kuasa kamu memanggil mereka? Kamu hanya wakil rakyat. Apa mahu gaduh-gaduh?," soalnya kepada Xavier. Bagaimanapun, dia berjaya ditenangkan oleh penyokong-penyokong lain.