-
Mohd Mokhtar (tengah) melihat wang tunai dan komputer riba yang berjaya dirampas dalam Ops Soga (kegiatan pertaruhan atau perjudian bola sepak) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata penahanan suspek berusia antara 20 hingga 60 tahun itu dibuat hasil 248 serbuan dan pemeriksaan menerusi maklumat awam serta risikan pasukan khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Menurutnya, turut dirampas wang tunai berjumlah RM111,882 termasuk mata wang Singapura, 21 unit komputer riba, 61 telefon bimbit dan rekod pertaruhan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6 Akta Pertaruhan 1953 (Akta 495) yang membawa hukuman denda sehingga RM200,000 dan penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan perjudian atau pertaruhan bola sepak boleh menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Polis Johor di 07-2212999 atau 07-2254677,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata, lima lelaki dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata ditahan hanya dalam tempoh 15 minit selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian di Jalan Seri Orkid, Taman Seri Orkid, di sini.
“Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi pada 25 Jun lalu, lima suspek menaiki kereta bersenjatakan parang dan sepucuk pistol mainan menahan dan lima mangsa sebelum mengarahkan mereka menyerahkan barang berharga.
“Bertindak atas maklumat, pada jam 4.30 pagi polis menahan lima suspek berkenaan berusia antara 17 hingga 28 tahun selain merampas parang, pistol mainan, beg sandang, dua telefon bimbit, tiga dompet pelbagai jenama dan kereta Proton Iswara,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati dua suspek terbabit mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah, manakala saringan ujian air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis Methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan,” katanya.- Sumber SINAR HARIAN