Dapur Jalanan VS Tengku Adnan





Dapur Jalanan Kuala LumpurDapur Jalanan Kuala LumpurKUALA LUMPUR - Dapur Jalanan Kuala Lumpur (DJKL) mempelawa Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar Tengku Adnan Tengku Mansor untuk melihat sendiri keadaan golongan gelandangan dan warga tak berumah di Kuala Lumpur.
Dapur Jalanan dalam kenyataannya hari ini menyelar rancangan Tengku Adnan untuk mengklasifikasi kegiatan mengemis sebagai jenayah, manakala pemberi dan peminta sedekah berdepan hukuman sebaik undang-undang berkaitan diperketat.
Tengku Adnan dalam kenyataannya semalam berkata, satu kaedah sedang dirangka pihak berkuasa di mana pemberi sedekah akan ‘disaman’ manakala peminta sedekah akan ‘diangkut’.
Menurut Dapur Jalanan, kenyataan Adnan sebagai persediaan psikologi kepada orang awam bahawa isu miskin kota adalah masalah warga kota sendiri dan kerajaan dilihat melakukan sesuatu untuk menyelamatkan mereka.
Tambahnya, sebelum ini kerajaan mengumumkan bahawa Akta Orang-Orang Papa 1977 (AOP 1977) akan dipinda untuk memberi penakrifan baru bahawa kegiatan meminta sedekah sebagai tindakan jenayah.
“Perancangan menjenayahkan warga miskin kota semakin menggila dengan cadangan dipersetujui DBKL dan Menteri tersebut.
“Apakah sehingga naif sebegini langkah diambil kerajaan dalam usaha ‘menyelamat’ dan ‘memulih’ warga miskin kota?” sebut Dapur Jalanan dalam satu kenyataan.
Dapur Jalanan, merupakan kelompok anak muda dari Kelab Bangsar Utama yang menyediakan makanan percuma kepada gelandangan di Jalan Panggung, Kuala Lumpur, pada setiap hari Ahad.
Kolektif Dapur jalanan turut mempunyai jaringan kumpulan sukarelawan di Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, Sabah.
Dapur Jalanan menjelaskan AOP 1977 yang dikatakan berperanan menyelamat dan memulih warga miskin kota sering disalahguna pihak berkuasa seperti Jabatan Kebajikan dan DBKL dalam pelbagai operasi.
“Harus diingati bahawa akar punca isu warga miskin kota adalah masalah dalam struktur ekonomi dan sosial.
“Warga miskin kota tersisih dan dipinggir dalam sistem yang taksub dengan material dan omong kosong untuk mempamerkan kepada dunia bahawa Malaysia ini negara membangun,” kata kumpulan itu.
Tambahnya, kerajaan dilihat mengambil jalan pintas ‘menyelamat’ dan ‘memulih’ warga miskin kota dengan menyembunyikan isu ini daripada penglihatan ramai melalui operasi pembersihan.
“Di manakah sifat perikemanusiaan yang dihebohkan oleh kerajaan kepada media? Kami cadangkan kerajaan membuat kajian yang menyeluruh dahulu sebelum apa-apa tindakan gopoh mencantikkan dan membersihkan kota dijalankan.
“Dapur Jalanan secara terbuka menjemput Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor untuk turun ke jalanan dan lihat keadaan sebenar warga miskin kota,” tegas kenyataan tersebut.