Sepang: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan setakat ini masih belum dapat mengesahkan punca Penerbangan Malaysia MH17 terhempas.
Menurutnya, jika benar pesawat itu ditembak jatuh, pihak bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan.
"Saya sudah berhubung dengan beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.
"Presiden Ukraine mengesahkan akan berbincang dengan pihak terbabit supaya bantuan dapat disalurkan di tempat kejadian," katanya ketika ditemui dalam sidang media di Hotel Sama-Sama, Sepang.
Perdana
Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (tengah) bersama Menteri
Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kiri) dan Menteri Luar,
Datuk Seri Anifah Aman ketika mengadakan sidang media khas berhubung
insiden pesawat MAS MH17 yang terhempas di Ukraine. FOTO Mohd Fadli
Hamzah
Katanya, kejadian ini disifatkan sebagai tragik khususnya kepada rakyat negara ini.
"Penumpang MH17 terdiri dari pelbagai warganegara," katanya.
Penerbangan MH17 dilaporkan terhempas di sebuah kawasan tegang di Ukraine berhampiran sempadan Rusia kira-kira jam 12.15 waktu tempatan Amsterdam.
Pesawat Boeing 777 yang membawa seramai 280 penumpang dan 15 anak kapal itu adalah dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Penerbangan itu dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada jam 6.10 pagi Jumaat.