Genap 145 hari kehilangan MH370, namun kepulangan pesawat itu masih dinanti keluarga penumpang, saudara, rakan, sahabat serta rakyat Malaysia amnya.
Walaupun diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa pesawat malang terbabit berakhir di Lautan Hindi penghujung Mac lalu, teori yang timbul selepas itu sedikit sebanyak meniup semangat kepada waris yang menanti.
Dalam pedih akibat kehilangan orang tersayang, luka waris terubat tatkala Najib menegaskan bahawa Malaysia kekal komited mencari pesawat berkenaan.
Mesej ingatan sempena hari ke-100 kehilangan MH370 itu disuarakan Najib menerusi akaun Twitter peribadinya.
SEGITIGA Bermuda dalam peta dunia.
Malah, kerajaan turut mengumumkan bahawa Malaysia sudah membelanjakan RM27.6 juta setakat ini dalam fasa pertama pencarian.
Ia turut dibantu beberapa negara termasuk Australia, China, negara ASEAN serta Amerika Syarikat.
Mengingati semula tarikh 8 Mac 2014, pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 227 penumpang dan 12 kru itu dilaporkan hilang ketika penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
MH370 meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.41 tengah malam sebelum gagal dikesan menara kawalan mulai jam 1.23 pagi.
Gerakan mencari kemudian dimulakan di kawasan Laut China Selatan sebelum beralih ke selatan Lautan Hindi. Namun hasilnya tetap menghampakan.
Kini, selepas hampir lima bulan mencari dan berharap, pasti ramai antara kita yang menjadi sayu setiap kali memandang ke arah laut.
Andai dulu panorama indah laut menjadi saksi pasangan bercinta, namun hari ini banyak hati bertaut luka kerana mengenangkan kehilangan MH370.
Begitupun tiada siapa yang dapat menolak hakikat bahawa laut memang indah dari kejauhan, tapi boleh jadi menakutkan sekiranya kita berdepan ombak tinggi bergulung atau bertembung dengan pusaran besar di tengah hamparannya.
Ayuh kita lihat misteri dan fenomena aneh di enam laut berikut:
Segitiga Bermuda
Lokasi yang mendapat jolokan Segitiga Syaitan ini kerap menjadi topik perbualan dan sering dikaitkan dengan misteri kehilangan kapal terbang di laut.
Terletak di barat laut Lautan Atlantik, kawasan ini dikatakan mencecah jutaan persegi, melingkungi Kepulauan Bermuda, Puerto Rico dan Fort Lauderdale.
Nama Segitiga Bermuda mula popular ketika satu pasukan tempur yang terdiri daripada lima pengebom torpedo Angkatan Laut hilang pada 5 Disember 1945.
Hingga kini jasad 14 kru pesawat dan bangkai kapalnya tidak ditemui.
Malah, beberapa laporan turut menyebut, lebih 50 kapal dan pesawat dilaporkan hilang di wilayah berkenaan.
Begitupun, pada 1980-an, Segitiga Bermuda mula hilang rekod misterinya kerana tidak lagi ‘melahap’ apapun yang melintas di atasnya.
Namun demikian, sejumlah teori hadir mengungkap misteri kawasan itu dari segi pseudosains, paranormal hinggalah kepada penemuan UFO.
Bagaimanapun, tidak ada satu pun teori yang menjelaskan, mengapa Segitiga Bermuda berhenti melahap kapal dan pesawat.
Laut Sargasso
Ramai yang menyamakan Laut Sargasso dengan Segitiga Bermuda.
Padahal perairan ini terletak di tenggara Segitiga Bermuda iaitu di Samudera Atlantik.
Ada beberapa keunikan di wilayah ini termasuk samudera bergerak mengikut arah jarum jam dan banyak rumpai laut Sargassum di dalamnya.
Selain itu, laut ini turut memiliki pusaran raksasa dengan aturannya sendiri. Suhu di dalam pusaran jauh lebih tinggi daripada bahagian luarnya.
Richard Sylvester dari University of Western Australia berpendapat, pusaran raksasa Sargasso bersifat emparan yang kemudiannya menciptakan pusaran kecil.
Pusaran kecil ini menimbulkan siklon mini di udara yang cukup kuat untuk mencelakakan sebuah pesawat kecil.
Laut Syaitan (Devil’s Sea)
Ini adalah wilayah di pasifik, sekitar Pulau Miyake iaitu kira-kira 100 kilometer dari selatan Tokyo.
Mendapat jolokan The Dragon’s Triangle, ‘saudara’ kepada Segitiga Bermuda ini tidak boleh ditemui di peta mana pun, namun pelaut memilih untuk menghindarinya.
Badai di kawasan itu dikatakan boleh muncul secara tiba-tiba dan menghilang sekelip mata.
Ikan paus, lumba-lumba, bahkan burung tidak hidup di wilayah terbabit.
Sembilan kapal hilang dalam tempoh lima tahun iaitu sekitar 1950-an. Antara yang menjadi buah mulut adalah kehilangan kapal penyelidikan Jepun, Kaiyo Maru No 5.
Laut Syaitan berada di kawasan seismik yang sangat aktif. Lantai laut bergerak secara malar dan berterusan manakala pulau volkanik muncul dan menghilang secara biasa.
Wilayah ini juga diketahui aktif dengan aktiviti siklonnya.
Tanjung Harapan
Dikenali juga sebagai Tanjung Badai, kawasan ini mempunyai sejarah menenggelamkan kapal besar dalam kurun waktu ratusan tahun.
Sebahagian besar kapal hancur kerana cuaca buruk dan dipukul ombak bergulung.
Golongan ilmuwan menyebutnya sebagai gelombang soliter yang tingginya boleh mencapai sehingga 30 meter.
Gelombang raksasa itu turut menghasilkan rongga besar yang boleh menelan apa saja objek di atasnya.
Bahagian Timur Samudera Hindia dan Teluk Persia
Daerah ini dikenali dengan fenomena yang sangat mengagumkan dan misteri berikutan wujud lingkaran cahaya raksasa yang berputar-putar di permukaan air.
Anggota laut Jerman, Kurt Kahle percaya, fenomena itu adalah akibat daripada gempa bawah laut yang menimbulkan pendaran plankton, sekali gus mewujudkan gerakan seperti putaran roda.
Bagaimanapun, hipotesis itu menerima banyak kritikan kerana gagal menjelaskan transformasi lingkaran cahaya secara logik.
Tambahan pula, sains moden tidak mampu menjelaskan bentuk lingkaran sempurna objek berkenaan.
Pusaran air (maelstrom)
Meskipun tidak sehebat pusaran air di Laut Sargasso, namun pelaut sedar kehadiran fenomena menakjubkan itu.
Pusaran air terbabit terjadi dua kali sehari di bahagian barat laut Laut Norwegia dan perkataan ‘maelstrom’ itu sendiri dipopularkan oleh Edgar Alan Poe.
Maelstrom adalah air yang berputar kuat dan besar. Permukaan air daripada pusaran lebih rendah puluhan meter dari permukaan air laut.
Kekuatannya mencecah puluhan kali ganda berbanding arus biasa. Apa yang anehnya, pusaran ini berubah arah berlawanan setiap tiga hingga empat bulan.
Keadaan ini boleh terjadi di mana pun termasuk Segitiga Bermuda. Diyakini, pusaran berputar berlawanan arah jarum jam di belahan bumi utara dan mengikut jarum jam di bahagian bumi selatan.
Dean’s Blue Hole
Lubang laut paling dalam di dunia ini turut dikenali sebagai lubang biru dan berada dekat kota Clarence di Long Island, Bahamas.
Sebahagian besar lubang biru dan lubang tanah mencapai kedalaman maksimum 110 meter, namun Dean’s Blue Hole mencecah lebih dari 200 meter.
Lubang laut ini mempunyai diameter antara 25 hingga 35 meter. Selepas penyelam turun pada kedalaman 20 meter, lubang akan semakin melebar jauh ke dalam gua dengan diameter mencapai 100 meter.
Walaupun kedengaran menakutkan, Dean’s Blue Hole tetap menjadi lokasi popular untuk iklan menyelam dan snorkeling.
Pada 2012, piala dunia selam bebas menjadi milik William Trubridge dari New Zealand. Beliau terjun ke Dean’s Blue Hole dan menyelam hingga kedalaman 121 meter tanpa menggunakan sebarang bantuan oksigen sama sekali. - Sumber Harian Metro