Ahli-Ahli Parlimen Belia Malaysia (“APBM”) bagi negeri Selangor dengan sukacitanya mengumumkan pelancaran Kempen Korporat Prihatin (“Kempen”), sebuah program jangka masa panjang bagi APBM untuk berkerjasama dengan pihak korporat dan komuniti setempat di dalam meningkatkan kesedaran berkenaan pembangunan pusat-pusat kebajikan sekitar negeri Selangor Darul Ehsan (“Selangor”).
Umum ramai sudah mengetahui, terdapat banyak pusat-pusat kebajikan di negeri Selangor seperti Rumah Anak-Anak Yatim, Pusat-Pusat Tahfiz dan Rumah Orang Tua. Walaubagaimanapun, ada juga dikalangan institusi ini masih tidak berdaftar dengan Kerajaan dan bergantung harap kepada sumbangan orang ramai, sekaligus merencatkan pemberian bantuan-bantuan terus dari peruntukan kebajikan yang disediakan.
Menyedari akan perkara ini, INKY Group Malaysia sudi memperuntukkan dana tahunan sebanyak RM 25,000 bagi membantu Rumah Kebajikan Siti Khadijah Anak-Anak Tahfiz Putera (“RKSKAATP”), Kota Damansara melalui Kempen ini. Pihak APBM Selangor amat berterima kasih atas sumbangan dan bantuan yang diberikan. Sumbangan dana ini diharapkan dapat mengurangkan beban kos operasi yang ditanggung oleh Pentadbir RKSKAATP.
Majlis Perlancaran Kempen dan Penyerahan Bantuan ini dirasmikan oleh YB Hajah Halimaton Saadian binti Bohan, ADUN Kota Damansara bertempat di perkarangan Rumah RKSSAATP di Seksyen 6, Kota Damansara, Petaling Jaya
Menurut Ketua Kelab APBM Selangor, saudara Idzham Mohd Hashim,”Adalah menjadi satu tanggungjawab bagi Ahli-Ahli Parlimen Belia Malaysia untuk bertindak proaktif di dalam penambahbaikkan sistem penyampaian sumbangan kepada pihak yang memerlukan. Kempen ini diharapkan dapat membantu badan-badan korporat yang ingin menyumbang kepada pembangunan sosial Negara secara terus dan telus kepada golongan sasaran. Kami selaku Ahli-Ahli Parlimen Belia Malaysia menyeru kepada semua terutamanya badan korporat agar terus membantu anak-anak dan golongan yang memerlukan.”
Kempen ini juga dapat menghebahkan kesedaran mengenai kepentingan Rumah-Rumah Kebajikan di negeri Selangor untuk mendaftarkan institusi mereka di agensi-agensi Kerajaan yang terlibat bagi memastikan kelestarian hasrat dan usaha baik mereka dan pada masa yang sama meningkatkan kualiti rakyat setempat.
Sumber PENTAS AKSI