6 Mati Kena Hempap Jet Dalam Rumah






Enam terkorban apabila jet peribadi terhempas atas rumah di Maryland, Isnin.
 
 
MARYLAND: Sebuah jet peribadi terhempas ke atas sebuah rumah di sini pada Isnin mengakibatkan semua tiga penumpang pesawat itu serta tiga lagi penghuni kediaman berkenaan terkorban.
Kejadian yang mengejutkan penduduk di sini menyebabkan seorang ibu dan dua anaknya yang berada di dalam rumah berkenaan maut.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Montgomery, Pete Piringer menerusi Twitternya berkata, kejadian itu mengorbankan juruterbang pesawat itu dan dua penumpang lain, serta seorang ibu dan dua anaknya di rumah di mana pesawat itu terhempas.
"Kejadian itu mencetuskan kebakaran yang memusnahkan dua rumah dan tiga lagi mengalami kerosakan," katanya.
Piringer berkata, anggota bomba yang bergegas ke tempat kejadian berjaya mengawal kebakaran tetapi terdapat sebahagian daripada minyak pesawat berkenaan mengalir ke sungai berdekatan.
Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan, pesawat itu didaftar atas nama Michael Roseberg, seorang Profesor Adjung Epidemiologi di Universiti North Carolina, Chapel Hill.
Rekod Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) pula menunjukkan pada 2010, pesawat yang dipandu Rosenberg terhempas berhampiran tempat kejadian yang mengorbankannya apabila beliau hilang kawalan ketika mendarat dan pesawat itu terhempas ke pokok.
Bagaimanapun, Rosenberg tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian empat tahun lalu.
Pesawat 'Embraer SA Phenom 100' yang mempunyai dua enjin itu terhempas ke atas sebuah rumah kira-kira 1.6 kilometer dari Landasan Montgomery di Gaithersburg di pinggir Washington.
Jurucakap NTSB berkata, pesawat itu berlepas dari lapangan terbang kampus di Chapel Hill pada jam 9.30 pagi.
Pihaknya kini sedang menyiasat punca kejadian. - Reuters