Seorang penulis novel, Elias Idris dilaporkan telah mengemukakan tindakan saman terhadap Yusof Haslam, Syamsul Yusof dan Skop Production atas dakwaan filem Bohsia (2009) menciplak karya tulisan beliau iaitu novel Aku Bohsia keluaran tahun 1995.
Bercakap kepada Harian Metro, pengarah filem tersebut Syamsul Yusof bersumpah yang beliau tidak menciplak karya novel penulis itu seperti didakwa selain tidak mengetahui wujudnya novel itu dan tidak menyangka perkara ini dibawa sampai ke peringkat undang undang.
“Sumpah demi Allah, demi Rasul saya tak buat seperti apa yang dituduh itu. Saya tak pernah tahu pun mengenai novel itu. Jadi tak mungkin saya nak tiru. Mungkin beberapa persamaan yang wujud dalam novel dan filem itu hanya satu kebetulan,” jelas Syamsul.
“Papa pernah memaklumkan hal mengenai ketidakpuasan hati seorang penulis novel mendakwa kami menciplak novelnya menjadi filem Bohsia (2009). Mereka pernah berbincang dan kami menafikan dakwaan itu sebab ia memang tak berlaku seperti dituduhnya”
“Tidak sangka pula perkara ini dibawa ke tengah sampaikan pihaknya failkan saman ke atas saya, papa dan syarikat. Dia nak saman itu hak dia, kami kenalah lawan dengan undang-undang”
Elias Idris mendakwa yang beliau perasan akan persamaan filem Bohsia dengan novel karyanya itu selepas menontonnya tahun lalu dan menjelaskan eberapa watak dan jalan cerita dalam novel itu ditiru dan diterbitkan dalam bentuk visual menerusi filem Bohsia tanpa kebenaran.
Penulis itu menerusi peguam Tetuan Maha & Peri memfailkan writ saman terhadap Syamsul Yusof, bapanya & Skop Production di Mahkamah Tinggi KL pada 10 November lalu. - ROTIKAYA