
KUALA LUMPUR - Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) kini bersedia sepenuhnya untuk bertukar status sebagai sebuah universiti selewat-lewatnya Oktober ini dengan nama Universiti P. Ramlee.
Dekan Pusat Pengajian PascaSiswazah Kursi P. Ramlee Aswara Prof Datuk Dr Baharudin Ahmad berkata Aswara kini dilengkapi pelbagai kemudahan dan peralatan berteknologi tinggi serta studio untuk berperanan sebagai sebuah universiti teknologi kesenian dan budaya negara.
"Nama (Tan Sri) P. Ramlee yang mempunyai kekuatan sendiri sememangnya terkenal di dalam mahupun luar negara khususnya Asean," katanya dalam temu ramah eksklusif dengan Bernama di Wisma Bernama di sini hari ini.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sebelum ini mengumumkan status Aswara sebagai Universiti P. Ramlee ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 pada persidangan Dewan Rakyat November tahun lepas.
Ikon Allahyarham P. Ramlee dipilih Aswara bagi mengiktirafnya sebagai seniman unggul selain mengangkat beliau sebagai Tokoh Warisan Negara.
Baharudin berkata, pihaknya kini berusaha membesarkan fakulti sedia ada, menambah jumlah tenaga pengajar dan pelajar selain mengemukakan rancangan jangka panjang sesuai dengan taraf sebagai sebuah universiti bagi tempoh lima tahun akan datang.
Sambil melahirkan penghargaan kepada kerajaan, beliau berkata Aswara kini mempunyai 800 pelajar dengan menawarkan lapan program diploma dan ijazah dalam bidang tari, muzik, animasi, pengurusan seni dan penulisan kreatif serta pusat pengajian pascasiswazah selain kursus ijazah sarjana dan Ijazah Sarjana (PHD).
Baharudin berkata Aswara akan diletakkan di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi mahupun kekal di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan khususnya bekerjasama dalam menyalurkan peruntukan bersesuaian.
Beliau seterusnya berharap penarafan baharu sebagai universiti juga mampu mengubah persepsi pelajar khususnya lebih ramai generasi muda memilih Aswara untuk menceburi bidang kesenian dan kebudayaan selain melahirkan lebih ramai penggiat seni tempatan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) pada Mei tahun lepas berkata Aswara sebagai universiti akan menjadikan aktiviti kesenian akan terus mendapat galakan dalam usaha melahirkan karyawan dan penggiat seni yang berkaliber.
Berkuat kuasa 1 Ogos 2006, Aswara ditukar nama daripada Akademi Seni Kebangsaan, ASK yang ditubuhkan pada 1994.
Dalam usaha ke arah penarafan itu, Baharudin berkata pihaknya akan menganjurkan 'Program P. Ramlee 87 Tahun Dalam Kenangan' di Aswara selama tiga hari bermula 27 Mei ini.
"Pameran P. Ramlee akan diadakan selama dua minggu bermula 27 Mei yang mempamerkan pelbagai barangan koleksi P. Ramlee terdiri daripada gambar, pakaian, album, kamera dan barang kepunyaan P. Ramlee diikuti seminar berkisar cerita mengenai P. Ramlee pada 28 Mei dan majlis bacaan Yasin dan Tahlil pada 28 Mei," katanya.
Program berkenaan dijangka dirasmikan Mohamed Nazri pada 3 petang 27 Mei ini. – Bernama