Selepas bertunang pada 25 Ogos tahun lalu, pasangan pelakon Dazrin
Kamarudin dan Amyra Rosli telah memilih tanggal 8 Ogos depan sebagai
tarikh untuk melangsungkan majlis pernikahan mereka.
Memilih tarikh selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri, Amyra menjelaskan persiapan perkahwinannya sudah mencapai 80 peratus.
“Alhamdulillah, persiapan berjalan lancar. Semuanya baik-baik sahaja.
Walaupun kami berdua agak sibuk dengan jadual penggambaran dan aktiviti
seni, tapi persiapan perkahwinan kami dapat kami uruskan dengan bantuan
kedua belah pihak keluarga.
"Setakat ini yang sudah siap adalah seperti urusan baju, urusan
jurunikah, pelamin dan sebagainya. Cuma ada beberapa persiapan yang
sedang dalam proses untuk kami selesaikan seperti kad jemputan, undangan
dan sebagainya,” ujar Amyra yang dipetik daripada sebuah portal
hiburan.
Dalam pada itu, Amyra tidak menganggap perkahwinan di usia muda akan
menjejaskan periuk nasinya. Malah, yakin rezekinya semakin murah selepas
ini berikutan berita pertunangannya sebelum ini telah memberikannya
rezeki yang lebih banyak.