
Antaranya,
kemalangan maut membabitkan orang yang datang menyaksikan penggambaran di
lokasinya di Johor Bahru, Johor. Begitu juga seorang kakitangan Skop Production
Sdn Bhd kemalangan apabila melanggar enam kereta lain tanpa mengalami
kecederaan serius.
Syafiq
yang juga anak produser Datuk Yusof Haslam tidak mahu ada yang mengaitkan
peristiwa itu dengan perkara tahyul, sebaliknya menjelaskan, kejadian ngeri itu
berlaku secara kebetulan.
Pekin
atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim setuju dengan pandangan Syafiq tetapi
katanya, perkara pelik yang berlaku di banglo usang itu membabitkan satu babak
tidak dapat dijelaskan dengan logik akal.
Katanya,
apabila bercerita mengenai pengalaman dialami setahun lalu, ia meremangkan bulu
roma.
“Kalau
diikutkan, saya tidak mahu mengingatkan kejadian yang berlaku. Bukan sebab saya
nampak hantu atau makhluk halus muncul depan mata, sebaliknya situasi yang
berlaku membuatkan saya berasa pelik kerana ia tidak masuk akal.
“Waktu itu
saya berada di tingkat atas banglo lama itu dan untuk naik ke atas, hanya ada
satu tangga. Saya berada di atas sendirian dan kemudian seorang kru naik
melintas di depan saya.
“Kami
hanya berbalas senyum dan terus dia berada di belakang memandangkan kami
menunggu arahan pengarah untuk memulakan penggambaran.
“Tiba-tiba
apabila pengarah menjelaskan adakah kami bersedia atau tidak untuk produksi
bersedia dengan kamera, kru tadi tiba-tiba bersuara mengatakan belum dan terus
berlari ke atas.
“Melihat
orang yang sama naik membuatkan saya terpinga-pinga hingga tertanya-tanya dalam
hati. Dia kembali memandang ke belakang dan ternyata hanya ada seorang orang
yang sama,” katanya.
Pekin
akui seriau waktu itu. Katanya, hendak bertanya kembali, bibir seperti tidak terluah
hingga pelbagai persoalan bermain di fikiran.
“Adakah
itu sekadar bayangan atau ‘dejavu’? Saya diamkan saja perkara itu hinggalah
penggambaran babak terbabit tamat.
“Saya
tidak berkongsi cerita ini dengan sesiapa kerana takut ia hanya mainan minda sendiri.
Namun, setiap kali saya hendak berkongsi cerita ini dengan orang lain, bulu
roma saya akan meremang,” katanya.
Tisha
atau nama sebenarnya Shanorbiah Shamsir Alam turut melalui pengalaman ngeri
ketika menjalani penggambaran filem itu pada pertengahan Disember 2013.
Katanya,
paling tidak dilupakan apabila harus melakukan babak mencabar di mana kakinya
terikat dan tergantung kepala di bawah.
“Waktu
itu, saya tidak sedar apa berlaku tetapi dimaklumkan keluar muntah hijau. Cuma
yang saya perasan, sebaik tamat penggambaran babak itu, badan saya sangat
penat.
“Babak
itu memang memerlukan saya beraksi seperti dirasuk dan meracau. Begitupun, saya
tidak sedar apa yang saya lakukan hinggalah saya sedar tali mengikat kaki saya
dibuka,” katanya.
Tisya
akui mendengar kata-kata orang keliling mengenai kejadian berlaku, malah dia
dikatakan terus meracau walaupun penggambaran selesai.
“Saya
tidak mahu mengingatkan perkara itu dan mujur tiada perkara buruk berlaku.
Apapun, saya bersyukur penggambaran berjaya disudahkan walaupun pada waktu sama
ada kejadian pelik dan mistik berlaku membabitkan kru produksi mahupun kami
sebagai pelakon,” katanya.
Kata
Tisya, sebagai pelakon baru yang membuat penampilan sulung dalam filem ini, dia
mengharapkan penonton dapat menerima persembahan lakonannya dalam Villa Nabila
yang bakal ditayangkan kepada umum pada 15 Januari depan.