Bekas Pengurus ALLEYCATS Mati Dibunuh






PETALING JAYA – Gara-gara berebut tempat letak kereta, seorang promoter hiburan yang juga bekas ejen kumpulan terkenal Alleycats maut dipercayai ditumbuk sebanyak tiga kali oleh seorang lelaki tidak dikenali di Medan Selera Malam berhampiran Balai Polis Sea Park SS2/63 di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, mangsa, S. Stephen Joseph, 54, bersama isteri dan seorang anaknya difahamkan ke medan selera berkenaan untuk menikmati makan malam dan sebaik ingin meletakkan kereta, sebuah kereta jenis Proton Saga cuba memasuki petak letak kereta yang sama.
Akibat berang dengan situasi tersebut, mangsa keluar dari keretanya dan berlaku perselisihan faham antara kedua-dua mereka hingga mencetuskan pergaduhan.
Ketua Polis Daerah Pe­taling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, dalam pergaduhan tersebut, mangsa telah ditumbuk hingga terjatuh sebelum isteri Stephen meleraikan pergaduhan itu dan meminta suaminya masuk semula ke dalam kereta.
“Dalam perjalanan pulang, mangsa mengadu mengalami sesak nafas sebelum tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.