Pernah menjadi juara Bintang RTM pada 2009, penyanyi Ernie Zakri, 22,
mengakui rasa terpinggir selama berada dalam industri hiburan.
Baginya, gelaran juara yang dimiliki seperti tidak memberi kesan apa-apa walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan.
Namun, dia tidak pernah berputus asa, sebaliknya terus mencuba dan
terbaru, Nur Ernie Shahirah Zakri ini tampil dengan ‘single’ berjudul
Sedetik Cinta.
Sedetik Cinta ciptaan Puteri Cahaya adalah sebuah lagu ‘moderate’ yang hanya mengambil masa satu setengah jam untuk dirakamkan.
ERNIE mahu sambung pengajian hingga ke peringkat sarjana.
Ernie mahu pendengar disajikan dengan muzik yang santai dan boleh didengar oleh semua golongan.
“Saya rasa terkilan dengan apa yang berlaku, kadang-kadang
tertanya-tanya juga kenapa keadaan ini harus saya lalui. Namun, ia
sedikitpun tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus berkarya.
“Mungkin juga saya kurang dikenali akibat kurang mendapat liputan di
media walaupun sering menjayakan pelbagai persembahan pentas.
“Selain itu, kesibukan de–ngan pengajian yang bakal habis tidak lama
lagi antara sebab saya kurang diberi publisiti untuk mempromosikan diri
biarpun pernah menghasilkan album sulung berjudul Sinaran, tiga tahun
lalu,” katanya yang kini sedang menjalani latihan praktikal di Istana
Budaya.
Ernie kini pada tahun akhir pengajian Ijazah Sarjana Muda Muzik dan Persembahan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.
Bakal menyambung pengajian dalam peringkat sarjana, Ernie memilih
untuk melanjutkan pengajian ke luar negara jika sambutan terhadap lagu
Sedetik Cinta kurang memberangsangkan.
“Saya begitu mencintai bidang nyanyian dan sejak kecil saya sudah
didedahkan dengan muzik. Jadi, jika rezeki tidak berpihak sebagai
penyanyi, saya bercadang menjadi pensyarah muzik apabila berjaya
menamatkan pengajian sarjana nanti.
“Bukan kecewa, sebaliknya saya harus berfikir jauh. Mung–kin rezeki
tidak berpihak sebagai penyanyi dan sekurang-kurangnya saya dapat
berkongsi apa yang saya miliki dengan mendidik orang lain menjadi
seorang penyanyi.
“Apa pun, untuk waktu sekarang saya akan memberi fokus terhadap
‘single’ Sedetik Cinta dan berharap ia akan diterima masyarakat,”
katanya yang juga anak saudara Ziana Zain ini.
Menyimpan harapan supaya dapat berduet dengan Ziana Zain dan Anuar
Zain, Ernie berkata, kedua-dua penyanyi berkenaan adalah semangat
untuknya meneruskan perjuangan dalam bidang seni.
“Saya mengagumi mereka berdua bukan hanya kerana mereka adalah bapa
dan ibu saudara, tetapi melihat perkembangan masing-masing sejak awal
kemunculan mereka lagi.
“Sikap ramah yang tidak berbelah bahagi terhadap semua orang yang
dikenali ataupun tidak, saya harap dapat menjadi seperti mereka satu
hari nanti,” katanya. -Sumber Harian Metro