Sam (kanan) bersama ahli kumpulan Bunkface.
(Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Vokalis
kumpulan Bunkface iaitu Sam menjelaskan akan mengumumkan tarikh
perkahwinannya dengan seorang penerbit rancangan bernama
Aida Azira jika perkara tersebut sudah benar-benar pasti.
Sam atau nama penuhnya Shamsul Annuar Mohd Baharom, 27, berkata, dia
memang ada perancangan untuk berumah tangga, namun masih mencari masa
yang sesuai.
"Saya hanya merancang tapi Allah yang akan menentukannya. Apa yang saya boleh cakap kalau ada rezeki… adalah.
"Saya tidak mahu cakap apa-apa buat masa sekarang kerana takut kalau
tidak jadi nanti orang akan bertanya. Seelok-eloknya biarlah kalau ianya
benar-benar pasti baru saya akan beritahu kepada semua," ujarnya kepada
mStar Online pada majlis pelancaran album ketiga Bunkface berjudul
Malam Ini Kita Punya, di The Bee, Publika, di sini, Khamis.
Dalam pada itu, Sam minta peminat mendoakan sesuatu yang terbaik untuk perhubungan tersebut.
Sam
Sementara itu, bercerita tentang album ketiganya itu, Sam berkata,
keseluruhan lagu ini banyak berkisarkan tentang perjuangan Bunkface
selama lapan tahun dalam industri muzik tanah air.
Katanya, pemilihan lagu berjudul
Malam Ini Kita Punya sebagai tajuk album adalah kerana ia mempunyai kekuatan tersendiri dan menunjukkan kematangan muzik Bunkface.
"Kami biasa akan buat lagu mengikut isu semasa, kali ini banyak lagu
adalah tentang industri muzik kita yang sedang merudum sekarang dan
tentang perjuangan kami sebagai anak seni.
"Seperti lagu
Malam Ini Kita Punya adalah meluahkan tentang
kepuasan kami selepas berusaha untuk melakukan sesuatu perkara itu
sehingga berjaya terutama dalam bidang nyanyian," ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya bagaimana mereka mempertahankan ahli
kumpulan tersebut agar terus kekal, Sam berkata ketiga-tiga mereka
saling memerlukan dalam industri seni ini.
Katanya, persahabatan yang terjalin sejak di bangku sekolah membuatkan mereka saling memahami antara satu sama lain.
"Kami sudah kenal lama ketiga zaman kecil lagi, jadi sudah dapat baca
perangai masing-masing. Bohonglah kalau tidak pernah bergaduh tetapi ia
tidak sampai menjejaskan kumpulan ini.
"Pada saya kami bertiga ini saling memerlukan untuk berada dalam industri," ujarnya.
Album
Malam Ini Kita Punya yang diterbitkan oleh Sony Music Malaysia ini memuatkan tujuh buah lagu termasuk sebuah lagu bonus berjudul
Anugerah Syawal.
Tujuan buah lagu tersebut ialah
Malam Ini Kita Punya, Darah Muda, Orang Kita, Rentak Laguku, Kembali, Goyang dan
Salam. - MSTAR