-
Nur Suriati dan suaminya, Tuan Nasir tabah menjaga Tuan Nur Batrisyia.
KUALA TERENGGANU – “Saya harap dia sihat dan bebas dari masalah
kesihatan lain, itu saja,” demikian doa Nur Suriati Dakta, 34, ibu
kepada Tuan Nur Batrisyia Tuan Nasir, 6 bulan, yang mengalami masalah
Hydrosephalus iaitu kepala besar.
Nur Suriati meluahkan harapan itu selepas Tuan Nur Batrisyia dilaporkan
sukar untuk sembuh dan normal seperti bayi lain kerana kepalanya
membesar sejak dalam kandungan, bukan selepas dilahirkan.
Hati ibu mana yang ingin melihat anaknya menderita. Tapi itulah hakikat
yang terpaksa diterima Nur Suriati bersama suaminya, Tuan Nasir Tuan
Dalam, 30, seorang pekerja buruh yang tinggal di Kampung Pulau Duyong,
di sini.
Hydrocephalus merupakan penyakit yang menyebabkan kepala penghidapnya
membesar tiga kali ganda daripada saiz normal berikutan lebihan cecair
di dalam otak.
Penyakit dikesan ketika kandungan 7 bulan
Menurut Nur Suriati, dia mengetahui keadaan anaknya tidak normal
seperti bayi lain ketika usia kandungannya berusia tujuh bulan.
Saat itu katanya, tiada perkataan yang mampu menggambarkan perasaan
sedihnya, namun dia terpaksa kuatkan semangat untuk menerima takdir
ALLAH untuk cahaya mata keduanya itu.
Beberapa hari selepas dilahirkan, Tuan Nur Batrisyia dibedah bagi
memasang tiup khas dari otak ke perut untuk mengeluarkan lebihan cecair
di kepalanya, sekali gus menghalang kepalanya dari terus membesar.
Bagaimanapun, bayi tersebut sekali lagi dimasukkan ke Hospital Sultanah
Nur Zahirah (HSNZ) pada 3 Julai lalu untuk menjalani pembedahan
memasang semula tiub itu selepas tiub asal sudah dijangkiti kuman.
“Dia anak yang baik, tidak banyak meragam dan mudah dijaga kecuali
ketika sakit. Apa pun saya reda dengan ketentuan ALLAH,” katanya yang
meninggalkan puteri sulungnya berusia dua tahun, Tuan Nur Balqis
dengan ibunya sepanjang berada di HSNZ.
Dengan keadaan Tuan Nur Batrisyia yang memerlukan penjagaan rapi,
pasangan tersebut memerlukan sekurang-kurangnya RM600 sebulan sebagai
belanja menyediakan keperluan bayi itu terutama susu khas dan lampin
pakai buang.
Namun, dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan, kehidupan empat
beranak itu agak sukar kerana selain menyediakan keperluan Tuan Nur
Batrisyia, wang itu juga digunakan untuk urusan belanja harian.
Gamet hulur bantuan
Prihatin dengan nasib bayi terbabit, Pertubuhan Gabungan Media
Terengganu (Gamet), yang merupakan sebuah badan kebajikan bukan kerajaan
yang dikelolakan oleh pengamal media di negeri ini melancarkan Tabung
Bantuan Kecemasan Khas (TBKK) bagi membantu golongan susah dan tidak
berkeupayaan.
Setiausahanya, Rozainah Zakaria berkata, Gamet berfungsi sebagai medium
pengantara di antara pengamal media dengan golongan tersebut bagi
meringankan beban yang ditanggung mereka dengan mengumpul dana yang
didermakan orang ramai.
“Media adalah orang pertama yang tahu kesusahan yang mereka lalui.
Jadi, tak salah bagi pengamal media di Terengganu melancarkan tabung
bantuan di bawah satu pertubuhan berkonsepkan kebajikan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran TBKK di Hospital
Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini semalam. Tabung itu dilancarkan
oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Anwa
Sulaiman.
Menurut Rozainah, penubuhan Gamet merupakan satu inisiatif pengamal
media untuk membuat kebajikan selepas melawat Tuan Nur Batrisyia yang
menderita penyakit Hydrocephalus.
Katanya, Tuan Nur Batrisyia akan menjadi penerima pertama kutipan tabung TBKK selepas ia mula dilancarkan semalam.
“TBKK tidak akan beri bantuan kewangan, tapi akan salurkan sumbangan dalam bentuk barang keperluan.
“Sebagai contoh, melalui TBKK, Gamet akan salurkan bantuan kepada adik
Batrisyia dalam bentuk lampin pakai buang, susu dan barang keperluan
lain. Selain itu kita juga berikan RM200 kepada ibu bapanya sebagai
belanja ketika jaga Batrisyia di hospital,” katanya.
Pantau setiap dua minggu
Sementara itu, Dr Anwa berkata, selepas dibenarkan pulang pihaknya akan
melawat Tuan Nur Batrisyia setiap dua minggu bagi memastikan tiub untuk
memasukkan susu ke dalam perut bayi itu berada dalam keadaan baik.
“Selepas pembedahan, kita nampak keadaannya semakin pulih dan dia kini dibenarkan pulang,” katanya.
Selain itu beliau turut memuji usaha Gamet menubuhkan tabung bantuan khas itu dalam usaha membantu golongan tidak berkemampuan.
“Saya harap lebih banyak pertubuhan dan NGO lain dapat tampil membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Sinar Harian difahamkan, dua lagi bayi berusia lima hari dan satu minggu turut dirawat kerana masalah Hydrocephalus.