Sultan Husin yang dikatakan seorang pemadat candu – atau dalam bahasa anak muda hari ini Mat Gian Candu – telah menjualkan Singapura kepada tokan candu yang bernama Sir Stamford Raffles pada tahun 1819. Pada tahun 1924 Perjanjian Anglo-Dutch telah ditanda tangani. Maka terpecah bumi Melayu – menjadi Tanah Melayu dan Indonesia.
Pada tahun 1874 Perjanjian Pangkor telah ditanda tangani – satu demi satu bumi Melayu jatuh ke tangan Baginda Queen. Pada tahun 1909 Penjanjian Anglo-Thai ditanda tangani. Empat wilayah Melayu Utara Semenanjung dijadikan milik Siam.
Penjajah British dengan licik telah menempatkan tuan residen sebagai penasihat kepada sultan. Sesiapa yang hendak menjadi sultan walau pun namanya Atan jika sedia bersekongkol dengan British pasti akan dinobatkan sebagai sultan.
Pada tahun 1905 Malay College Kuala Kangsar (MCKK) didirikan. Pada tahun 1922 Sultan Idris Training College (SITC) telah didirikan. Pada tahun 1917 Revolusi Bolshevik berjaya membasmi kuasa kaum feudal di Rusia. Semenjak berlakunya Revolusi Oktober 1917 ini, dunia terus berubah. Revolusi di Rusia bukan hanya merubah landskap politik Eropah tetapi juga politik tanah jajahan kuasa Eropah.
Ketika Revolusi Rusia berlaku Tanah Melayu di bawah tangan British, Jawa dan Sumatera di bawah tangan Belanda. Kerajaan Melayu Melaka, Mataram, Majapahit, Aceh, Pattani. semuanya tunduk bawah kuasa British dan Belanda yang datang dengan teknologi senjata yang terbaru.
Kuasa penjajah datang dengan kapal wap, senapang dan meriam. Tombak, lembing, panah dan jampi serapah tidak dapat menandingi ledakan meriam dan letupan senapang.
Penjajah British dengan bijak telah mendirikan Malay College untuk mendidik anak dan cucu cicit kaum bangsawan Melayu agar mereka menjadi budak suruhan yang setia kepada Baginda Queen. Mereka dididik untuk menjadi buah kelapa – gelap di luar putih di dalam. Lepasan dari MCKK menjadi tulang belakang pentadbiran British dari zaman penjajah hingga ke zaman pasca 1957.
Dalam masa yang sama, British juga memerlukan warga yang tahu membaca dan menulis. Maka anak-anak petani dan nelayan perlu juga diajar membaca dan menulis. Mereka yang 'cerah otak' tidak diterima masuk ke MCKK kerana tidak ada darah bangsawan lalu mereka dikampungkan ke Tanjung Malim.
Jalur MCKK vs jalur SITC
Lulusan MCKK dan SITC ini menggambarkan dua jalur pembelajaran yang melahirkan dua pandangan bani Melayu hingga ke hari ini. Dua garis ini adalah kesinambungan dari garis tamadun bangsa Melayu.
Apa dia garis tamadun bangsa Melayu?
Garis ini telah wujud dalam canon corpus Melayu – Hikayat Hang Tuah. Dua garis ini ialah garis Hang Tuah dan garis Hang Jebat. Hang Tuah mewakili garis kesetiaan tanpa belah bagi. Manakala Jebat adalah garis perlawanan untuk menegakkan keadilan. Dua garis ini masih bermain dalam kancah politik dunia Melayu hingga ke hari ini.
Kita lihat bagaimana MCKK melahirkan pegawai British yang cekap, baik, jujur berhemah tetapi gagal untuk memahami bahawa tanah tumpah darah dan bangsanya sedang dijajah.
Anak dan cucu cicit bangsawan gagal untuk merasakan apa itu penjajahan kerana mereka sendiri dipelihara oleh penjajah British.
Mereka hidup di pinggir kuasa British. Kerana itu sering kali mereka cuba berlagak lebih tuan dari tuan. Lebih kuali dari belanga. Lebih British dari British. Sama seperti watak Ridhuan Tee dalam konteks hari ini, lebih Melayu dari Melayu.
Ini tidak berlaku dengan lepasan SITC. Dari Tanjung Malim munculnya fikrah melawan. Pencerahan dari pembacaan telah membuka kesedaran bahawa Tanah Melayu sedang dijajah. Perasaan dan kesedaran ini telah digembleng dalam satu organisasi politik. Pada tahun 1938 secara resmi Ibrahim Yacob telah menubuhkan Kesatuan Melayu Muda dengan cita dan niat untuk memerdekakan Tanah Melayu.
Di Seberang Selat Melaka lebih awal lagi telah wujud kesedaran untuk merdeka. Organisasi Indies Social Democratic Association (ISDV) telah melancarkan serangan bersenjata terhadap Belanda pada akhir tahun 1917. Walau pun gagal tetapi jelas bahawa pengaruh Revolusi Rusia telah sampai ke alam Melayu. Kegagalan Pemberontakan di Surabaya ini telah melahirkan Sarekat Islam pada tahun 1917. Pada tahun 1927 telah tertubuh Parti Nasionalis Indonesia.
Buat mem di Hamstead
Apa yang ingin dijelaskan di sini ialah perkataan seperti parti politik, siasah, penjajah, ekonomi, imperialisme, nasionalisme kini telah menjadi bahasa ucapan harian dan bahasa tulisan oleh pemikir bangsa di Tanah Melayu dan juga di Indonesia.
Perkataan-perkataan ini sarat dan bunting dengan agenda merdeka. Bunting dengan agenda melawan penjajah. Bunting dengan garis Hang Jebat.
Dalam suasana dan ketika ini sayugia diingatkan bahawa British telah membawa masuk ratusan ribu pendatang asing dari China dan India. Mereka ini selain dari menjadi buruh adalah juga penggerak sistem ekonomi kapitalis yang ditaja oleh penjajah British.
Kaum buruh dari China dan India ini hakikatnya kesetiaan mereka bukan kepada Tanah Melayu. Budaya, bahasa dan cara hidup mereka tidak lahir dari Sungai Pahang, tidak berteduh di bawah Gunung Tahan, tidak dipukul ombak Pantai Cinta Berahi. Tidak ditaburi belacan dan budu. Tidak dihiasi oleh petai dan jering.
Untuk pendatang asing ini Tanah Melayu ini hanya tempat mereka 'cari makan'. Tetapi mereka juga sedar sebagai kuli mereka hanya memiliki kemungkinan untuk memperbaiki ekonomi kehidupan mereka di Tanah Melayu. Di negara asal mereka mustahil mereka mendapat mencari sesuap nasi. Hakikatnya hidup mereka lebih lumayan dari apa yang mereka kecapi di China atau India.
Perkara ini bukan susah untuk difahami. Lihat sahaja hari ini bagaimana warga Bangla, Myammar, Indonesia berduyun-duyun menerobos masuk ke Malaysia untuk memperbaiki ekonomi kehidupan mereka.
Mereka sanggup bergolok bergadai, sanggup menyabung nyawa untuk sampai ke Kuala Lumpur. Ini sebenarnya adalah 'ulang tayang' sejarah kesampaian Orang Asing ke Tanah Melayu.
Ulang tayang ini diharapkan akan menimbulkan kesedaran sejarah kepada Orang Melayu bahawa beginilah asalnya orang Cina dan orang India datang ke Tanah Melayu dibawa oleh British dahulu.
Kuli India dan Cina ini, sebagai pendatang Asing - mereka juga tidak terlepas dari penindasan penjajah. Mereka membanting tulang di ladang getah dan lombong bijih untuk mengayakan mem dan tuan yang tinggal di Hamstead atau di Notinghill. Mereka memburuh untuk membesarkan dompet Baginda Queen.
Bertemu 'the others'
Oganisasi yang paling sesuai dan bertanggungjawab menyusun mereka pastilah organisasi buruh. Maka pada tahun 1930 Parti Komunis Malaya telah ditubuhkan secara resmi di Kuala Pilah. Uncle Ho Chin Minh dari Hanoi telah datang ke Batu Kikir sebagai wakil Komunis antarabangsa untuk merayakan penubuhan PKM.
Dua organisasi KMM dan PKM walau pun membawa agenda merdeka tetapi lubuk mereka amat berbeza. KMM adalah anak tulen Tanah Melayu. Budaya, bahasa dan gaya hidup mereka lahir dan muncul dari bumi Melayu. Manakala orang India dan orang Cina, budaya, bahasa, gaya hidup mereka lahir di India atau di tanah besar China. Perbezaan ini wajib diakui jika kita mahu memahami politik yang sedang berlaku di hadapan mata kita hari ini.
Tahun-tahun sebelum pecahnya Perang Dunia Kedua ialah zaman di mana konsep Melayu sebagai satu bangsa dalam satu tanah air diolah dan diwujudkan. Ini bukan bermakna sebelum ini Manusia Melayu tidak wujud.
Manusia Melayu telah wujud berjuta tahun di Tanah Melayu. Tetapi konsep – kita ini Melayu – hanya wujud apabila manusia Melayu bertemu orang lain (the other). Orang lain ini ialah orang Cina, orang India dan orang putih.
Sebelum bertemu dengan orang lain, ada Melayu Kedah, Melayu Singapura, Melayu Johor, dan, dan, dan.... Tidak wujud konsep Melayu seperti mana yang kita rasakan hari ini. Justeru kaum nasionalis kiri Melayu dan warga SITC telah berjaya melakukan konstruksi budaya untuk menimbulkan kesedaran “aku Melayu” dan Tanah Melayu ialah tanah tumpah darahku.
Lalu timbul persoalan, jika Tanah Melayu ini tempat tumpah darah manusia Melayu, bagaimana pula dengan orang Cina dan Orang India yang bukan sedikit jumlahnya.
Saya cukup yakin bahawa “orang lain” – Cina dan India yang ada di Tanah Melayu pada ketika KMM melaungkan merdeka – pasti telah dibincangkan.
Untuk memahami orang lain dalam Tanah Melayu ini kita wajib kembali melihat gerakan nasionalisme sebelum dan sesudah Perang Dunia Kedua.
Membuka sejarah sebelum dan sesudah perang kita akan bertemu kembali dua garis tamadun bangsa Melayu. Garis Hang Tuah dan garis Hang Jebat. - Sumber MALAYSIAKINI