Orang Tua Maut Dilanggar Keretapi

Seorang warga emas maut dilanggar keretapi di km 190, Lahat berhampiran Taman Halaman Sentosa di Ipoh, semalam.  

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, Din Chik, 84, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, patah tangan serta kaki.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata mangsa dari Kampung Seri Murni, Pasir Putih cuba melintas landasan tersebut sebelum terpelanting ke tepi akibat rempuhan keretapi itu yang dalam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur.

"Polis bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang melakukan pemeriksaan menemui mangsa terbaring di tepi landasan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata polis sedang menjalankan siasatan lanjut.

Mayat dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat, katanya.

Difahamkan di tempat kejadian polis turut menemui kunci kereta, tongkat dan kopiah putih dipercayai milik lelaki itu.

- Bernama