Waheeda Tampil Berpurdah

Lama juga tidak mendengar khabar Waheeda Abdul Wahab, penyanyi yang sikit masa dulu cukup popular dengan lagu Wassini ini. Sejak mendirikan rumah tangga bersama penyanyi dan pendakwah bebas, Ustaz Akhil Hayy, dia memilih untuk bersara daripada dunia hiburan.
Baru-baru ini kami berkesempatan bertemu pelakon Anak Mami The Movie ini sewaktu di majlis pelancaran single terbaru suaminya yang berjudul Andai Esok.
Berkongsi mengenai perkembangan diri dan kehidupannya kini sebagai suri rumah tangga, Waheeda berkata sejak tidak lagi aktif menyanyi, masanya banyak diluangkan bersama keluarga dan kelas agama. Selain itu dia juga sibuk menguruskan perniagaan online-nya.
“Alhamdulillah, hidup seperti biasa. Sejak berkahwin dan berhenti menyanyi, saya lagi ada banyak dapat masa dengan suai dan keluarga. Boleh dikatakan hampir setiap minggu kami sekeluarga akan berkumpul bersama adik beradik dan ibu saya akan buat makan-makan”
“Kalau rutin biasa, saya ada kuliahh dan mengaji Al-Quran bersama beberapa rakan. Saya juga buat bisnes kecil-kecilan menerusi online antara seperti abaya dan produk kecantikan”, kata Waheeda memulakan perbualan.
Tambahnya, meskipun bukan lagi bergelar artis, namun dia tetap dikenali oleh orang ramai. Namun satu hal yang membuatkan dia berasa khuatir dan kurang seang ialah sejak tampil dengan imej berpurdah, dia semakin didekati oleh lelaki-lelaki.
Semakin Didekati Lelaki Semenjak Berpurdah
“Seperkara yang saya belajar sejak tak aktif lagi ni, sekarang ni saya baru kenal dunia dan masyarakat yang diluar industri. Walaupun saya sudah berpurda, orang masih kenal saya. Tak kiralah sama ada saya keluar bersama suami atau seorang, ramai juga yang menegur saya. Saya tak kisah kalau mereka tegur biasa-biasa. Cuma, sebelum ini saya pernah dua kali lalui insiden diganggu oleh lelaki-lelaki yang saya tidak kenali”
“Salah satu insiden itu, ketika saya keluar bersama ibu, arwah ayah dan adik saya. Ada sekumpulan lelaki yang tiba-tiba muncul entah dari mana, mereka memanggil-manggil nama saya dan mengekori saya. Saya anggap mereka tidak hormat saya sebagai isteri orang. Apatahlagi dengan penampilan saya yang sekarang ini. Orang kata kalau berhijab lagi lah nak kena jaga serba serbi. Saya tak selesa bila ada gangguan-gangguan macam itu”, luahnya.
Begitupun dia tidak menyalahkan 100% individu-individu yang bersikap sebegitu. Sebaliknya gangguan sebegitu membuatkan dia lebih berhati-hati terutama semasa berada di luar rumah.
“Saya tak salahkan mereka dan saya masih boleh berdepan dengan golongan sebegini. Saya juga ada menceritakan hal ini pada suami. Sudah tentu, bila dia mendengar, dia berasa marah. Tapi selagi perbuatan mereka itu tidak sampai terlalu melampaui batas dan selagi saya boleh elak, saya elak demi menjaga maruah dan nama baik suami saya”, katanya.
Dalam perkembangan lain, Waheeda ada menghasilkan dua buah lagu berjudul ‘Ighfir Zunubih’ dan ‘Subhanaq’ dan akan dimuatkan di dalam album suaminya, Ustaz Akhil Hayy.