SHAH ALAM - “Saya ingat saya yang kena tembak,” kata saksi pendakwaan kes bunuh kakitangan Ambank cawangan USJ Sentral, Norazita Abu Talib, 37, yang mati ditembak, tahun lalu.
Ketua Perkhidmatan Ambank cawangan itu, Arzanna Abdullah, 43, berkata, pada hari kejadian, dia dan Norazita sedang memasukkan wang kutipan di dalam bilik simpanan duit sebelum berlakunya insiden tersebut.
Saksi memberitahu pengawal keselamatan, Ardi Hamzah, menariknya keluar dari bilik itu sebelum seorang rakan sekerja datang menariknya ke bilik operasi.
Melalui bilik operasi, katanya, dia ternampak Ardi meluru ke bilik simpanan duit dan mencangkung di depan pintu besi, sebelum pengawal keselamatan itu keluar dari pintu depan, membawa beg.
Apabila tertuduh pergi, saksi memberitahu dia meminta bantuan daripada dua rakan sekerja yang lain untuk melihat Norazita.
“Saya syak dia (Norazita) kena tembak kerana mereka tengok kepalanya pecah,” katanya.
Menurutnya, dia dengan segera menghubungi ketuanya, Alice Wong untuk memaklumkan kejadian tersebut.
Beliau sekali lagi menghubungi pihak atasan untuk memaklumkan insiden itu sebelum polis datang dan mengambil keterangannya.
“Sekitar jam 6 petang, sebelum memasukkan duit, dia berdiri di tepi pintu dan bertanyakan pukul berapa saya masukkan wang.
“Saya hairan kerana sebelum ini dia tidak pernah bertanyakan perihal itu dan saya jawab tidak pasti,” katanya pada sesi pemeriksaan utama oleh Ketua Pendakwa Negeri Selangor, Mohd Azari Haron.
Sementara itu, Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya, Assisten Superintendan Kwek Chuwn Hui, 34, memberitahu, salinan kad pengenalan milik Ardi yang diperolehi daripada penyelia syarikat keselamatan itu telah dianalisa oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), namun salinan kad pengenalan itu palsu.
Menurutnya, selain salinan kad pengenalan milik Ardi, turut dianalisa adalah kesan cap jari pada dokumen asal pembukaan akaun dan pasport sah La Ode Ardi Rasila.
“Hasil analisa mendapati, kesan cap jari itu adalah merujuk kepada orang yang sama iaitu La Ode Ardi Rasila,” katanya.
Menjawab pertanyaan Mohd Azari, Chuwn Hui, membuat pengecaman bahawa Ardi adalah La Ode yang berada di kandang tertuduh.
La Ode, 37, dituduh membunuh Norazita antara jam 6 petang hingga jam 6.30 petang di Bangunan Ambank, Jalan USJ Sentral, Subang Jaya pada 23 Oktober 2013.
Asyraf Md Kamal turut bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya bersama Mohd Azari Haron, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Selvi yang dilantik oleh Kedutaan Indonesia. - Sumber Sinar Harian