• Lokasi kedua wartawan Sinar Harian melakukan penyamaran untuk melihat sifat “pemurah”
rakyat Malaysia. Lokasi kedua wartawan Sinar Harian melakukan penyamaran untuk melihat sifat “pemurah” rakyat Malaysia.
1 / 1
SENAI - Malaysia sebuah negara pesat membangun di Asia Tenggara namun tidak dinafikan dalam pada itu pelbagai kontroversi seperti isu mengemis yang melanda negara ini taktala para pemimpin sibuk menjalankan tugas mereka.
Walaupun sering membantah kenaikan harga dan cukai, masyarakat Malaysia sering kali dilihat murah hati untuk memberikan derma kepada pengemis di jalanan mahupun pengemis berprofil tinggi.
Munculnya pengemis di bandar berpunca dari sifat pemurah dan ringan tangan masyarakat di sini namun tidak boleh dipersalahkan kerana itu adalah kehendak diri masing-masing.
Pelbagai pendedahan telah dilakukan oleh kerajaan serta NGO namun tidak pernah membuahkan hasil malahan makin bertambah bilangan pengemis di negara ini.
Bagi menyingkap isu ini dengan lebih lanjut mengenai isu pengemis serta sikap pemurah rakyat Malaysia, wartawan Sinar Harian telah melakukan penyamaran selama beberapa jam sebagai seorang peminta sedekah untuk rumah Anak yatim di sekitar Skudai.
Tampil dengan imej yang kemas dan membawa tabung tertulis 'Sumbangan Ramadan untuk Anak Yatim' sudah memadai untuk wartawan mengaburi mata penduduk di Skudai ini.
Bagaimanapun, tempat yang dituju sentiasa berubah-ubah untuk mendapatkan pengalaman yang berbeza mengemis di serata tempat dan bagi mengelak disyaki pihak tertentu.
Lokasi pertama yang dituju wartawan ialah laluan masuk ke salah satu masjid di Skudai, hanya perlu berdiri sambil melemparkan senyuman kepada penduduk sekitar yang menuju ke masjid, wartawan berjaya mengutip RM18  dalam masa 10 minit.
Tanpa mengalami sebarang kesukaran ketika meminta sedekah, wartawan meneruskan perjalanan ke sebuah bank kerana berpendapat masyarakat tentu akan menderma selepas mengeluarkan wang di ATM.

Wartawan sempat beramah mesra bersama peniaga yang duduk bersebelahan untuk mendapatkan sedikit informasi tentang lokasi strategi bagi seorang peminta sedekah.
10 minit berada di lokasi, wartawan memberanikan diri untuk menyapa orang berada di sekitar bank untuk meminta sedikit sumbangan buat anak yatim.
“Assalamualaikum bang..minta sumbangan ikhlas untuk anak yatim di bulan Ramadan ini,” sambil menghulurkan tabung ke arahnya.
Tidak disangka, pemuda berbangsa Cina yang berusia dalam lingkungan 30an itu menghulurkan sumbangan sebanyak RM10 ke dalam tabung tanpa menyoal tentang kewujudan rumah anak yatim.
Pada sesi petang, wartawan melangkah ke destinasi baru iaitu bazar Ramadan di tempat berdekatan dengan harapan mampu mengaut sedikit keuntungan seperti mana yang sentiasa diharapkan pengemis lain.
Wartawan tidak mengambil masa lama untuk mencari tempat yang sesuai kerana melihat keadaan cuaca seperti tidak mengizinkan.
Baru tujuh minit berada di lokasi, nasib tidak menyebelahi penulis apabila keadaan bermula dengan kilat sambung menyambung dan turun hujan yang sangat lebat mengakibatkan peminta sedekah yang bersama wartawan turut lari bertempiaran mencari tempat berteduh.

Walaupun gagal dalam misi terakhir tetapi penulis dapat membuat kesimpulan pendapat peminta sedekah lebih untung dari kerjaya seorang wartawan kerana dalam hanya 10 minit sahaja wartawan berjaya mengutip RM18.00.
Jikalau wartawan kami berjaya meminta sumbangan dalam masa yang panjang, sudah pasti ia memberikan pulangan lumayan.
Sebagai rakyat Malaysia, tidak salah jika hendak bersedekah tetapi kita perlulah selidik dahulu latar belakang peminta sedekah kerana sekarang sudah banyak penipuan yang berlaku kerana setiap manusia tidak mampu menduga perkara di sebaliknya.
Bagi Sinar Harian jika ingin bersedekah, tidak perlu mencari pengemis jalanan mahupun di sekitar restoran kerana masjid berdekatan adalah destinasi terbaik beramal jariah. - Sumber SINAR HARIAN