-
Lokasi kedua wartawan Sinar Harian melakukan penyamaran untuk melihat sifat “pemurah”
rakyat Malaysia.
SENAI - Malaysia sebuah negara pesat membangun di Asia Tenggara namun
tidak dinafikan dalam pada itu pelbagai kontroversi seperti isu mengemis
yang melanda negara ini taktala para pemimpin sibuk menjalankan tugas
mereka.
Walaupun sering membantah kenaikan harga dan cukai, masyarakat Malaysia
sering kali dilihat murah hati untuk memberikan derma kepada pengemis
di jalanan mahupun pengemis berprofil tinggi.
Munculnya pengemis di bandar berpunca dari sifat pemurah dan ringan
tangan masyarakat di sini namun tidak boleh dipersalahkan kerana itu
adalah kehendak diri masing-masing.
Pelbagai pendedahan telah dilakukan oleh kerajaan serta NGO namun tidak
pernah membuahkan hasil malahan makin bertambah bilangan pengemis di
negara ini.
Bagi menyingkap isu ini dengan lebih lanjut mengenai isu pengemis serta
sikap pemurah rakyat Malaysia, wartawan Sinar Harian telah melakukan
penyamaran selama beberapa jam sebagai seorang peminta sedekah untuk
rumah Anak yatim di sekitar Skudai.
Tampil dengan imej yang kemas dan membawa tabung tertulis 'Sumbangan
Ramadan untuk Anak Yatim' sudah memadai untuk wartawan mengaburi mata
penduduk di Skudai ini.
Bagaimanapun, tempat yang dituju sentiasa berubah-ubah untuk
mendapatkan pengalaman yang berbeza mengemis di serata tempat dan bagi
mengelak disyaki pihak tertentu.
Lokasi pertama yang dituju wartawan ialah laluan masuk ke salah satu
masjid di Skudai, hanya perlu berdiri sambil melemparkan senyuman kepada
penduduk sekitar yang menuju ke masjid, wartawan berjaya mengutip RM18
dalam masa 10 minit.
Tanpa mengalami sebarang kesukaran ketika meminta sedekah, wartawan
meneruskan perjalanan ke sebuah bank kerana berpendapat masyarakat tentu
akan menderma selepas mengeluarkan wang di ATM.
Wartawan sempat beramah mesra bersama peniaga yang duduk bersebelahan
untuk mendapatkan sedikit informasi tentang lokasi strategi bagi seorang
peminta sedekah.
10 minit berada di lokasi, wartawan memberanikan diri untuk menyapa
orang berada di sekitar bank untuk meminta sedikit sumbangan buat anak
yatim.
“Assalamualaikum bang..minta sumbangan ikhlas untuk anak yatim di bulan Ramadan ini,” sambil menghulurkan tabung ke arahnya.
Tidak disangka, pemuda berbangsa Cina yang berusia dalam lingkungan
30an itu menghulurkan sumbangan sebanyak RM10 ke dalam tabung tanpa
menyoal tentang kewujudan rumah anak yatim.
Pada sesi petang, wartawan melangkah ke destinasi baru iaitu bazar
Ramadan di tempat berdekatan dengan harapan mampu mengaut sedikit
keuntungan seperti mana yang sentiasa diharapkan pengemis lain.
Wartawan tidak mengambil masa lama untuk mencari tempat yang sesuai kerana melihat keadaan cuaca seperti tidak mengizinkan.
Baru tujuh minit berada di lokasi, nasib tidak menyebelahi penulis
apabila keadaan bermula dengan kilat sambung menyambung dan turun hujan
yang sangat lebat mengakibatkan peminta sedekah yang bersama wartawan
turut lari bertempiaran mencari tempat berteduh.
Walaupun gagal dalam misi terakhir tetapi penulis dapat membuat
kesimpulan pendapat peminta sedekah lebih untung dari kerjaya seorang
wartawan kerana dalam hanya 10 minit sahaja wartawan berjaya mengutip
RM18.00.
Jikalau wartawan kami berjaya meminta sumbangan dalam masa yang panjang, sudah pasti ia memberikan pulangan lumayan.
Sebagai rakyat Malaysia, tidak salah jika hendak bersedekah tetapi kita
perlulah selidik dahulu latar belakang peminta sedekah kerana sekarang
sudah banyak penipuan yang berlaku kerana setiap manusia tidak mampu
menduga perkara di sebaliknya.
Bagi Sinar Harian jika ingin bersedekah, tidak perlu mencari pengemis
jalanan mahupun di sekitar restoran kerana masjid berdekatan adalah
destinasi terbaik beramal jariah. - Sumber SINAR HARIAN