• Amil Amras menunjukkan kesan cedera di kepala anaknya. Amil Amras menunjukkan kesan cedera di kepala anaknya.
1 / 1
GEORGETOWN - Seorang murid tahun satu luka di kepala selepas mendakwa terkena kotak pensil yang dilempar gurunya kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, Affan Farhan Amil dikatakan sedang berbual dengan rakan sekelas namun secara tiba-tiba kotak pensel hinggap di kepalanya dipercayai dilempar oleh guru berkenaan.

Berikutan itu, murid berusia tujuh tahun itu  luka di bahagian kepala dan mendakwa sering pening kepala selepas kejadian itu.

Bapanya, Amil Amras Jaafar Sidik kecewa dengan tindakan guru berkenaan.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian itu semasa mengambil anaknya pulang dari sekolah kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin dan mendapati kepalanya berdarah.

“Saya bertanya apa yang berlaku dan dia memberitahu kepalanya luka kerana dilempar dengan kotak pensel guru ketika mengajar di kelas.

“Pada mulanya saya tidak percaya kerana beranggapan mungkin anak luka kerana bermain dengan rakan di sekolah namun apabila berkali-kali bertanya Affan tetap memberi jawapan sama,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, pemeriksaan doktor mendapati kepala anaknya luka dan doktor terpaksa menampal menggunakan pelekat untuk mencantum kembali kulit kepala.

Katanya, dia tidak marah sekiranya guru mahu merotan anaknya jika mereka nakal namun bukan melakukan sesuatu hingga murid cedera.

“Saya kecewa dengan tindakan itu kerana saya sendiri tidak pernah memukul anak sehingga luka.

“Apa yang dilakukan oleh guru berkenaan boleh dianggap keterlaluan dan memang membuatkan saya tidak berpuas hati,” katanya.

Beliau berkata, laporan polis dibuat mengenai kejadian itu dan akan merujuknya kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan menerima lapora dan siasatan dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar.