Roket Israel Serang Palestin Setiap Minit





Penduduk menyelamatkan mangsa runtuhan di kem pelarian Maghazi di bandar Gaza selepas bandar itu lumpuh dibedil Zionis, pagi kelmarin. -AFP 



Serangan roket setiap minit

Sehingga semalam, lebih 200 serangan jarak jauh sudah dilakukan oleh Zionis ke Gaza.

Mengikut laporan siaran langsung Al-Jazeera, sebanyak 38 serangan roket dibuat bermula jam 12.30 malam hingga 3.30 petang (waktu tempatan) jumlah itu berkurangan berbanding hari kedua dengan 53 serangan roket dilancarkan dalam tempoh 24 jam dan 54 serangan roket pada Isnin lalu.

Media sama turut melaporkan, penduduk bertempiaran lari menyelamatkan diri setiap kali terdengar siren pelancaran roket.

Penduduk tempatan, Muhammad Ali, 56, berkata, setiap kali terdengar bunyi siren mereka sekeluarga berpegangan tangan dan hanya menanti di manakah roket itu akan mendarat.

“Hidup kami terseksa sejak tiga hari lalu. Terdengar sahaja bunyi siren, saya akan dengar ramai jiran dan rakan-rakan berteriak Allahu Akbar! dan Syahid! Kanak-kanak pula akan menangis dan menjerit. Golongan ibu akan memeluk erat anak mereka. Saya tidak tahu sampai bila kami harus terus hidup sebegini,” katanya.

Baginya, Ramadan ini adalah ujian paling getir berbanding situasi sama yang pernah dialaminya ketika Intifada Pertama 27 tahun lalu.


PBB kutuk serangan

Awal pagi kelmarin, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ban Ki-moon memberikan taklimat kecemasan kepada Majlis Keselamatan PBB bagi membincangkan situasi tidak menentu di wilayah Gaza.

“Nyawa Gaza umpama pisau di hujung tanduk. Saya secara peribadi mengutuk keras serangan roket dilancarkan Israel. Serangan tidak boleh diterima dan mesti dihentikan segera. Saya menggesa Perdana Menteri Netanyahu untuk melakukan pengendalian maksimum dan menghormati hak asasi antarabangsa untuk melindungi orang awam, “ katanya.

Menurutnya, kini adalah masa tepat untuk pemimpin keanggotaan memainkan peranan dan menggunakan kuasa yang ada untuk menghentikan tindakan kejam Zionis.

“Saya menggesa Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi untuk membantu memudahkan proses gencatan senjata seperti yang pernah dilakukan pada November 2012. Gaza dan negara serantau secara keseluruhan sudah tidak mampu untuk menghadapi perang besar-besaran,” katanya.
Intifada ketiga?

Jika benar dakwaan Netanyahu untuk mengerakkan 40,000 askarnya, maka tidak mustahil Intifada ketiga akan berlaku jika tiada pihak tampil menawarkan usaha untuk gencatan senjata.

Mengimbau episod luka pada November 2012 ketika perang lapan hari yang mengorbankan 164 nyawa, serangan itu dihentikan hasil usaha bekas Presiden Mesir Mohammad Mursi yang ketika itu menjadi orang tengah antara Palestin dan Israel.

Kini, serangan udara sudah dilakukan, serangan laut dan darat sedang siap sedia dan tidak mustahil akan berlaku peperangan besar jika negara dunia terus berdiam diri.

Adakah permintaan PBB untuk meminta bantuan Al-Sisi bakal membuahkan kejayaan? Semalam sahaja, beliau mengarahkan 19 terowong di sempadan Mesir-Gaza dimusnahkan. Oleh itu, adakah Al-Sisi boleh bertindak seperti Mursi?