Selepas spekulasi demi spekulasi timbul akhirnya isteri kepada penyanyi Awie, Rozana Misbun tampil ke hadapan untuk memberikan kenyataan beliau berhubung insiden hitam dalam rumah tangga beliau bersama penyanyi itu.
Dalam temubual bersama mStar Online hari ini, Rozana tidak banyak bercakap tentang insiden pukul yang kini sudah menjadi kes mahkamah tetapi lebih kepada perasaan beliau sebagai ibu yang dihalang untuk berjumpa dengan anak anaknya oleh Awie sendiri.
BACA: Awie Lebih Senang Berdiam Diri, Tidak Mahu Bising Serupa Syaitan
Rozana mendakwa beliau keluar daripada kediaman mereka dua minggu selepas kejadian hitam itu berlaku kerana mengalami trauma dan kesakitan fizikal namun awal awal lagi sudah dipesan oleh Awie supaya tidak berebut anak.
“Hanya Allah sahaja yang tahu betapa berat hati Ina untuk melangkah keluar ketika anak-anak sedang lena dibuai mimpi. Hati Ina benar-benar sayu. Ina tak pernah berpisah dengan anak-anak walaupun sesaat”
“Tetapi Ina terpaksa teruskan langkah keluar rumah untuk ke rumah ibu dalam keadaan sehelai sepinggang menaiki teksi kerana perasaan trauma yang menghantui jiwa Ina,” jelasnya.
Rozana juga berkata yang Awie telah menghantar surat bertarikh 21 Jun 2014 kepada pihak sekolah anak anaknya agar tidak membenarkan beliau menemui mereka. Pihak sekolah terpaksa akur kerana mereka tidak mahu timbul masalah di kemudian hari.
Alami Kecederaan Serius, Hampir Cederakan Paru Paru
Bercakap tentang kecederaan yang dialami, Rozana menambah yang doktor kini sedang berikan perhatian serius terhadap dua tulang rusuknya yang retak dan nyaris terkena paru paru selain kecederaan di wajah yang hampir menyebabkan dirinya pekak sebelah.
“Ina tak tipu, mestilah masih ada kesan sakit. Rusuk kiri iaitu tulang sembilan dan tulang sepuluh retak. Sekarang masih dalam rawatan dan doktor sedang beri perhatian serius. Doktor beritahu, kecederaan tu nyaris-nyaris nak kena paru-paru”
“Tulang hidung Ina retak dan masih lagi membengkak. Ia menyebabkan hidung sebelah kanan Ina akan mengalami halangan atau akan mudah tersumbat. Doktor kata ia akan ambil masa tiga bulan untuk pulih. Telinga sebelah kiri sebelum ini ada pendarahan”
“Doktor kata, hanya sedikit sahaja lagi kecederaan telinga itu nak kena gegendang. Kalau tidak, mungkin Ina akan pekak sebelah. Tapi Allah selamatkan Ina. Keadaan dah okey,” ujarnya.
Mengakhiri perbualan, Rozana menambah yang beliau bimbangkan persiapan raya anak anak & tidak sesekali menyimpan dendam terhadap suaminya, Awie. (rtky/m)