PETALING JAYA: Pasangan
kembar Broo Twinz iaitu Izzat Ismer Mohd Noor (Ezmir) dan Izzat Izwan
Mohd Noor (Ezwan) memberitahu penglibatan mereka sebagai penyanyi
berlaku secara tidak sengaja selepas video nyanyian mereka di laman
YouTube menjadi viral.
Ezwan, 26, berkata, video lagu Pencuri oleh
Mark Adam yang dinyanyikan semula oleh mereka berdua mendapat perhatian
daripada penonton dan sehingga kini mencatat jumlah tontontan hampir
200,000 tontonan.
"Segala-galanya bermula pada tahun
2012 apabila salah seorang kenalan kami memuat naik video nyanyian kami
di YouTube dan sejak itu ramai yang meminta kami untuk lebih kerap
berkongsi video di laman tersebut.
"Alhamdulillah setakat ini kami sudah buat lebih daripada 40 video dan yang paling mendapat sambutan adalah lagu Pencuri," katanya.
Bakat nyanyian Ezwan (kiri) dan Ezmir dikesan menerusi laman YouTube oleh abang saudara mereka sendiri. Foto IZZRAFIQ ALIAS.
Pasangan adik-beradik kembar itu ditemui ketika hadir untuk mengadakan sesi fotografi bersama mStar Online di sini pada Ahad lalu.
Tambah Ezwan, video berkenaan turut
ditonton oleh abang saudara mereka yang yakin bakat nyanyian mereka
boleh diketengahkan sebagai penyanyi duo berkumpulan.
"Menyedari bakat yang ada pada kami dia memperkenalkan kami kepada rakannya di syarikat rakaman NAR Records," ujarnya.
Bagaimanapun kata Ezwan, mereka tidak
mendapat tawaran tersebut dengan mudah sebaliknya perlu menjalani uji
bakat sebelum diterima sebagai artis syarikat rakaman itu.
Selain menyanyi Ezmir kini bertugas di Pos Malaysia cawangan Seremban, Negeri Sembilan.
"Pada hari uji bakat kami menyanyikan lagu ciptaan kami sendiri berjudul Saranghaeyo
dan mereka memberitahu memang mencari penyanyi yang boleh mencipta lagu
sendiri. Alhamdulillah kami diterima sebagai artis NAR Records,"
ujarnya.
Dalam pada itu, Ezmir berkata, dia
yakin kemunculan mereka sebagai pendatang baharu dalam industri muzik
akan diterima oleh peminat biarpun menyedari persaingan amat sengit.
Jelas Ezmir, mereka optimis dapat
menjadi salah seorang pemain dalam industri berbekalkan bakat nyanyian
dan penciptaan lagu selain keunikan mereka sebagai pasangan kembar.
"Rasanya tidak ramai pasangan kembar
yang menjadi penyanyi dan itu adalah salah satu keistimewaan kami.
Biarpun sedar dengan persaingan dunia seni namun itu bukan alasan untuk
kami mengejar cita-cita dan yakin kemunculan kami dapat diterima
peminat," ujarnya.
Selain berbakat dalam penciptaan lagu dan bermain alatan muzik pasangan kembar ini juga berkebolehan menyanyi secara harmoni.
Sementara itu, Ezmir berkata, dia
selesa bekerjasama dengan adiknya sendiri dan memberitahu keserasian di
antara mereka berdua memudahkan proses kreativiti terutamanya dalam
penciptaan lagu.
"Biarpun kadang-kadang kami ada
bertelagah tetapi sejujurnya kami amat memahami di antara satu sama lain
dan muzik turut menyatukan kami terutamanya dalam menghasilkan muzik
yang baik," katanya.
Bercakap mengenai single pertama, Ezmir berkata, mereka teruja apabila pihak syarikat rakaman mahu lagu Saranghaeyo yang dinyanyikan semasa uji bakat diketengahkan sebagai lagu utama bagi memperkenalkan mereka kepada peminat.
Jelas Ezmir, mereka mengambil masa
selama sebulan untuk menyiapkan lagu tersebut dan gembira apabila karya
itu diterima baik oleh peminat dan turut dimainkan di stesen radio
tempatan.
Ezuwan pula bertugas di Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia di Cyberjaya.
"Lagu Saranghaeyo adalah
sebuah lagu berentak rancak yang kami cipta agak sudah lama sebenarnya
dan tidak sangka pula pihak syarikat rakaman menyukainya dan mahu
ia menjadi single pertama kami. Alhamdulillah ia diterima baik oleh
peminat.
"Dari segi muzik pula kami ketengahkan
irama pop kerana ia lebih mudah diterima pendengar dan Insya-Allah
single kedua akan menyusul selepas ini," katanya. - Sumber Mstar