Sudah lama kita tidak mendengar cerita mengenai juara
program realiti One In A Million (OIAM) musim pertama, Suki Low. Ketika
berpeluang bertemu pelantun lagu ‘Terlalu Mencintaimu’ ini di majlis
pelancaran kempen dan lagu ‘Salute Malaysia’ baru-baru ini, GUA agak
terkejut apabila mengetahui yang Suki kini sedang hamil enam bulan
setengah.
“Kandungan saya sudah mencecah 26 minggu. Setakat ini
tidak ada sebarang alahan dan saya bersyukur kerana semuanya berjalan
dengan lancar. Saya rasa gembira sangat dan ia sesuatu yang menakjubkan
apabila mengetahui ada satu ‘nyawa’ lain dalam badan saya,” tutur gadis
berusia 25 tahun ini sambil memberitahu tidak berniat untuk
menyembunyikan berita kehamilannya kepada peminat.
“Saya tak merancang pun nak sembunyi berita kehamilan
saya. Cuma saya tak umumkan diri saya mengandung sebab perkara ini agak
peribadi buat saya lebih-lebih lagi ia melibatkan hal keluarga. Salah
satu sebab saya tidak berkongsi kepada semua juga adalah kerana saya
mahu proses kehamilan saya berlaku secara normal. Bagi saya, biarlah
khabar gembira ini diketahui dengan sendirinya dan bukan melalui
pengumuman rasmi daripada kami,” ujar Suki lagi.
Berkongsi mengenai pengalaman sepanjang tempoh
kehamilannya itu, Suki memberitahu sejak mengandung, seleranya kini
berubah menjadi seorang vegetarian, walhal sebelum ini dia tidak
mempunyai masalah untuk makan daging. Dijangka bersalin pada Disember
ini, Suki ketika ditemui turut memberitahu menerusi hasil ujian imbasan
yang dilakukan, doktor mengesahkan bahawa dia bakal melahirkan bayi
lelaki.
“Dari awal kehamilan lagi naluri saya kuat mengatakan saya
sedang mengandung anak lelaki. Walau bagaimanapun saya tidak kisah
sangat soal jantina anak, asalkan bayi yang dilahirkan nanti sihat, itu
sudah memadai. Tidak dinafikan saya begitu teruja kerana bayi kami
dijangka akan lahir empat hari sebelum hari lahir saya yang jatuh pada
11 Disember. Mana tahu, kalau dia keluar lambat sikit, mungkin kami
boleh berkongsi hari lahir yang sama,” tutur Suki sambil mengakui sudah
memilih beberapa nama untuk cahaya mata sulungnya itu.
Sebelum mengakhiri bicara, Suki turut berkongsi yang dia
akan berpantang selama sebulan dan bakal dijaga oleh ibu mertuanya
sepanjang tempoh tersebut. Suki atau nama sebenarnya Low Sook Yee
mendirikan rumahtangga dengan pengurusnya, Jeremy Chong pada 12 Disember
2012 dalam satu majlis tertutup di Pulau Pinang.
*Artikel dari GUA