NIAT asalnya cuma mahu meluahkan rasa hati yang sunyi yang sesekali singgah dalam jiwanya.
Namun Izreen Azminda tidak menyangka bahawa beberapa karangan luahan hati yang dikongsi di laman sosial miliknya menyebabkan ramai yang menganggap dia memberi isyarat sudah bersedia untuk mencari cinta baharu untuk menghiasi hidup solonya.
Sejak berpisah dengan bekas suaminya,Muhammad Riza pada Jun 2014, Izreen masih belum menemui pengganti untuk bergelar suami dan bapa kepada anaknya, Adrian Umar yang kini berusia tiga tahun.
Menafikan bahawa dia sedang mencari cinta baharu, yang diluahkan di laman sosial cuma sekadar luahan rambang dan tidak bermaksud dia sedang memberikan isyarat tertentu.
“Saya muat naik luahan itu bukan kerana saya nak cari pengganti baharu dalam masa terdekat. Ya, memang saya ada rasa sebegitu tetapi sekadar perasaan yang datang seketika dan kemudian saya akan okey. Bahkan memang saya baik-baik saja.
“Kalau ada yang terbaca dan buat spekulasi sendiri, terpulang kepada mereka. Saya tak pernah peduli pun orang nak cakap kerana yang penting, saya tahu diri saya ,” katanya.
Turut mengulas mengenai gelaran 'ratu cinta lokasi’ yang terpalit kepada dirinya, Izreen cuma ketawa sambil berseloroh yang dia tidak pernah mengejar gelaran seperti itu.
Menganggap kebanyakan orang tidak tahu cerita di sebalik tabir dan cuma mendengar yang dicanang dek khabar angin, kata wanita berusia 31 tahun ini, dia bukannya sengaja mahu mencari kontroversi dengan cara begitu.
Terkini menerusi gosip dengan pelakon Redza Rosli yang bertebaran baru-baru ini.
“Saya sendiri hairan macam mana boleh timbul cerita saya bercinta dengan Redza. Nak juga tahu siapa yang buat cerita. Takkanlah kerana saya pernah kemalangan dengan Redza sebelum ini maka orang pun galak kaitkan saya bercinta dengan dia.
“Kemudian orang pun katakan, 'oh Izreen memang suka terjebak dengan cinta lokasi, memang itulah sasaran dia, mudah sangat jatuh cinta dengan pasangan pelakon di lokasi.'
“Kata-kata begitu sebenarnya buat saya terfikir, kenapa orang cepat buat andaian? Saya berkawan saja dengan dia, bukannya bercinta pun,” katanya.