“Ada beberapa situasi yang membuatkan saya berasa terlalu ‘tua’.”
Itu kata Mark Wahlberg selepas mengambil alih peranan hero daripada Shia LaBeouf dalam filem terbaru Transformers: Age of Extinction yang mula ditayangkan sejak kelmarin.
Apa yang pasti, berlakon di set penggambaran bersama robot-robot yang ‘tidak wujud’ dan bekerja dengan pengarah filem ‘box-office’ seperti Bay bukanlah mudah.
Dalam usia mencecah 43 tahun, tenaga Wahlberg tidak lagi sama seperti awal tahun 90-an ketika dia popular sebagai rapper, Marky Mark and the Funky Bunch dan model seluar dalam Calvin Klein yang mampu membuatkan gadis menoleh dua kali!
“Ia satu cabaran yang memenatkan. Ketika penggambaran, setiap kali bangun pagi saya berasa amat penat. Namun, saya buang perasaan itu jauh-jauh dan saya sebenarnya okay!” kata Wahlberg.
Selain cabaran daripada segi fizikal, ada beberapa faktor yang mendorong dia bersetuju berlakon dalam filem berkenaan memegang watak Cade Yeager, seorang bapa tunggal dan pereka elektronik yang secara tidak sengaja ‘mengaktifkan’ Optimus Prime yang bersembunyi.
Antaranya dia yakin Transformers: Age of Extinction akan menjadi filem paling laris tahun ini.
Majalah Forbes baru-baru ini membayangkan filem berkenaan bakal menjadi satu-satunya filem paling laris pada musim panas ini. Ia juga dijangka boleh mencatat kutipan sebanyak AS1 bilion (RM3.2 bilion) dengan mudah kerana dalam masa yang sama tidak ada filem sama taraf yang ditayang.
Transformers: Dark of the Moon yang ditayangkan pada 2011 mencatat kutipan sebanyak AS1.1 bilion ( RM3.5 bilion) menjadikan ia antara filem paling laris sepanjang zaman.
Wahlberg berkata, filem keempat Transformers ini berbeza kerana selain dia ‘merampas’ watak hero daripada LaBeouf, ia menampilkan watak yang lebih kuat dan dipenuhi elemen kemanusiaan. Dalam masa yang sama, aksi pertarungan robot yang menjadi tunjang filem ini sejak mula ditayangkan sejak 2007.
“Selain menampilkan kesan khas berkualiti tinggi, filem ini ada ‘hati’ dan juga humor,” katanya yang menandatangani kontrak berlakon dalam filem ini tanpa membaca skripnya terlebih dulu.
Sinopsis
Selepas bandar Chicago hampir musnah akibat pertarungan antara Optimus Prime, Megatron dan Sentinel Prime dalam Transformers: Dark of the Moon, empat tahun selepas itu kerajaan Amerika Syarikat tidak lagi mempercayai Transformers dan mereka melakukan pemburuan besar-besaran untuk memusnahkan Transformers termasuk semua Autobots.
Inilah yang ditampilkan dalam Transformers: Age of Extinction yang turut menonjolkan Galvatron sebagai musuh baru kepada Autobots yang diketuai Optimus Prime.
Watak Lockdown, robot pemburu upahan dari galaksi yang memburu Autobots serta boleh bertukar kepada kereta mewah Lamborghini Aventador juga pasti menjadi tumpuan.
Mark Wahlberg yang memegang watak sebagai Cade Yeager, seorang pereka elektronik bersama anaknya Tessa lakonan Nicola Peltz menjumpai Transformers, sekali gus menarik kehadiran Autobot dan pemburunya yang lain.
Karya terbaru Michael Bay ini menampilkan adegan dengan format lebih sinematik dan adegan pertarungan yang lebih hebat dan realistik.