Nora Danish Bodoh






ORA bersama Nedim dan anak masing-masing sewaktu mereka keluar makan malam bersama dan gambar inilah yang dijadikan bahan sensasi sesetengah pihak.
KADANG-kadang kasihan pula dengan pelakon genit Nora Danish, tidak habis-habis diselubungi kontroversi sama ada timbul daripada masalah yang diciptanya sendiri, mahupun dek kerana iri hati insan lain terhadap dirinya.
Terbaru, tindakan Nora dan Nedim Nazri yang memuat naik gambar bersama anak-anak mereka di laman sosial mengundang rasa tidak puas hati sesetengah pihak apabila menyifatkannya sebagai sengaja menayangkan kebahagiaan kepada umum dan bertujuan untuk membuatkan bekas isteri kekasihnya iaitu Nabilah Khan cemburu.
Berkesempatan bertemu dengannya ketika majlis pratonton filem Pengantin Malam terbitan MIG baru-baru ini, Nora yang merupakan pelakon utama karya terbabit menjelaskan bahawa tindakannya itu adalah refleks biasa yang sepatutnya tidak dijadikan sebarang isu.
“Saya memang seorang yang suka berkongsi apa jua momen di laman sosial. Secara kebetulan, kami berempat keluar bersama dan detik itu saya abadikan dalam bentuk gambar dan dimuat naik ke Instagram.
“Ia adalah perkara biasa yang selalu saya buat. Lagipun, saya bukannya menjalin hubungan dengan Nedim ketika dia masih bersama isterinya, tetapi selepas mereka berpisah dan saya bukannya perampas.
“Jadi, jika saya bergambar dengan anak Nedim, tidak wajar ia dipertikaikan seolah-olah saya yang merosakkan hubungan mereka. Biarlah, saya sudah malas nak melayan hal remeh-temeh macam ini dan saya bahagia dengan apa yang dikecapi sekarang ini," katanya menjelaskan situasi tersebut.
Pada masa yang sama, Nora turut terkejut dengan sikap beberapa rakan artis yang agak rapat dengannya mengeluarkan kenyataan berbaur sindiran berkaitan isu gambar terbabit.
“Jujur jika para wartawan tidak maklumkan hal ini, saya langsung tidak tahu ada rakan artis yang mempunyai tanggapan negatif yang sama terhadap saya. Ia sesuatu yang mengejutkan serta menyedihkan.
“Jika tidak berpuas hati, sila bersemuka dengan saya dan cakap terus terang. Sangat memeranjatkan apabila mereka memerli dan menyindir di belakang saya," katanya sambil menyatakan pendirian untuk tidak mahu mengetahui siapakah artis yang dimaksudkan.
Menurut Nora, biarlah dia tidak tahu gerangan artis yang telah menikamnya dari belakang kerana mahu menikmati kebahagiaan yang dikecapi sepuas-puasnya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai status hubungannya dengan Nedim, dia memberitahu bahawa perancangan ke arah perkahwinan itu sedang dilakukan, cuma belum menetapkan sebarang tarikh untuk menyaksikan mereka ke jenjang pelamin.
“Insya-Allah, apabila dah dapat tarikh yang sesuai, saya akan umumkan kepada media. Buat apa nak sorok berita yang menggembirakan? Jangan risau, nanti saya akan kongsikan kepada semua," jawabnya.

Kredit: Utusan Melayu (M) Bhd