MANA mungkin peminat seni tempatan melupakan kumpulan nasyid popular yang ditubuhkan sekitar tahun 90-an ini.
Walaupun anggota kumpulannya sudah tidak bersatu namun, lagu-lagu dendangan kumpulan yang pernah dianggotai Allahyarham Azahari Ahmad, Nazrey Johani, Abu Bakar Mohd Yatim, Che Amran Idris dan Amran Ibrahim ini masih segar di ingatan.
Bahkan lagu popular mereka Ya Rasulullah, Iman Mutiara, Puji - Pujian dan 25 Rasul terus dimainkan di corong-corong radio dan menjadi lagu dakwah yang diminati sehingga kini.
Kegemilangan kumpulan yang dikenali sebagai Raihan ini bagaimanapun menjadi tanda tanya apabila salah seorang anggotanya, Ustaz Nazrey Johani dilihat menyanyi di bazar Ramadan sekitar Selangor. Malah aktiviti itu turut dirakam dan dikongsi peminat menerusi laman sosial.
Bukan atas tujuan peribadi, sebaliknya Ustaz Nazrey sedang mengumpul dana bagi membina sebuah pusat tahfiz di Ranau, Sabah iaitu Maahad Tahfiz Bayu Syahadah bagi tujuan menempatkan golongan asnaf, anak yatim dan saudara baharu Islam.
Sedikit mengenai dana pembinaan pusat tahfiz ini, pada 2010 Ustaz Nazrey pernah mengadakan sidang media berkenaan perkara tersebut dan berharap hasratnya itu dapat direalisasikan segera.
Namun atas pelbagai kekangan dan masalah, proses pembinaan pusat tahfiz ini berjalan agak perlahan.
Nampaknya, usaha beliau tidak terhenti di tengah jalan, di sebalik cabaran dan dugaan yang dihadapi, beliau tetap gigih mengumpul dana tersebut sehingga ke hari ini.
Zass cuba menghubungi Ustaz Nazrey, namun semalam beliau sedang sibuk dan tidak dapat berbicara lanjut mengenai perkara ini.