Pesawat MAS Tidak Selamat Lagi






MAS masih tersemat di hati rakyat Malaysia
Tragedi demi tragedi telah menimpa Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), namun, kepercayaan rakyat terhadap MAS kekal kukuh dan ia sentiasa tersemat dalam hati.
KUALA LUMPUR: Tragedi demi tragedi menimpa Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), namun, kepercayaan rakyat terhadap MAS kekal kukuh dan syarikat penerbangan itu sentiasa tersemat di hati mereka.

Rakyat Malaysia dan luar negara yang ditemubual oleh Astro AWANI sebelum mereka terbang ke destinasi masing-masing dengan pesawat MAS, menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada syarikat penerbangan itu.

Salim B. Man, yang merupakan seorang yang kerap menggunakan MAS untuk membuat perjalanannya, berkata dia tidak risau untuk menggunakan khidmat syarikat itu, walaupun selepas tragedi MH17.

“Saya akan membuat perjalanan ke Myanmar. Pertamanya, MAS mempunyai anak kapal yang terbaik di dunia. Saya pernah menggunakan perkhidmatan banyak syarikat penerbangan untuk menjelajah ke luar negara. MAS masih yang terbaik. Saya selalu membuat perjalanan dengan MAS.

“Keduanya, orang tidak tembak kapal terbang setiap hari. Tiada apa-apa yang salah dengan pengurusan atau penyelenggaraan MAS yang boleh menyebabkan kebimbangan.

“Saya akan bimbang jika kapal terbang jatuh kerana masalah penyelenggaraan.

“Ini adalah tentang orang jahat menembak sebuah kapal terbang, Jadi, saya mempunyai keyakinan yang sepenuhnya ke atas MAS," katanya.

Rakyat Perancis, Julien Chassagnevirol berkata ianya tidak adil untuk menuding jari terhadap MAS di atas kejadian yang berlaku secara ‘kebetulan’.

Dia juga berkata ini ‘bukannya tahun untuk MAS’.

“Untuk saya, ini bukan salah MAS. Ia adalah secara kebetulan pesawat itu ditembak jatuh. Saya masih mempunyai keyakinan untuk terbang dengan MAS. Tahun ini bukan tahun untuk MAS.

“Saya tidak rasa (tragedi ini berlaku kerana) masalah penyelenggaraan atau keselamatan, Malaysia adalah sebuah negara selamat. Saya telah berada di sini lebih kurang lapan ke sembilan bulan,” katanya.

Penjawat awam Nik Mastura Dyana Nik Mohamad, 50, berkata ini adalah masa untuk menyokong penerbangan itu dan bukannya menuding jari ke arahnya.

“Ini bulan salah sesiapa. Kita tidak boleh menuduh (MAS). Jadi, kita kena berdoa supaya perkara seperti ini tidak berlaku lagi.

“Saya tahu ini adalah sesuatu perkara yang sukar untuk ditangani oleh kerajaan tetapi MAS masih terbaik dari segi perkhidmatan dan lain-lain. Kita kena sokong MAS kerana ia penerbangan kebangsaan kita. Saya akan terbang dengan MAS pada bila-bila masa,” katanya.

Becky Walker, 43, berkata dia telah membeli tiket penerbangan ke Singapura seminggu sebelum kejadian itu dan tidak berhasrat untuk membatalkannya walaupun setelah mengetahui tentang tragedi MH17.

“Saya berasa sedih tentang mereka yang berada di dalam pesawat. Saya tiada masalah membuat perjalanan dengan MAS,” katanya.

Tragedi malang itu telah menyebabkan pekerja MAS terkejut dan semangat mereka menurun.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Malaysia (Nufam), Ismail Nasaruddin berkata insiden ini tidak boleh diterima oleh anak kapal.


Sumber - Astro Awani