SMS Cabut Nyawa






Kuala Lumpur: ‘Lu (awak) mahu mati sendiri (bunuh diri) atau kita buat lu mati sakit. bayar hutang! jangan mahu lari’. Itu adalah antara SMS ugutan diterima seorang mekanik motosikal selepas gagal menjelaskan hutang ceti haram yang digunakan untuk bertaruh judi bola sepak Piala Dunia.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lan, 35, memberitahu dia kini hidup ibarat pelarian gara-gara berhutang ceti haram (along) membabitkan jumlah RM20,000 pada 29 Jun lalu.
Menurutnya, dia meminjam wang daripada seorang along yang menawarkannya pinjaman bagi pertaruhan bola sepak membabitkan perlawanan pusingan kedua antara Uruguay dan Colombia.

“Saya meletakkan semua wang pertaruhan pada ‘bookie’ kerana yakin 100 peratus Uruguay mampu membelasah Colombia.
Foto LAN menunjukkan mesej ugutan bunuh yang dihantar along.

“Malah, kelibat bintang penyerang Uruguay seperti Luis Suarez dan Edinson Cavani menyebabkan saya yakin pasukan itu mampu mencatatkan kemenangan besar, sekali gus memasuki pusingan suku akhir Piala Dunia,” katanya.

Menurutnya, along itu yang turut memberi pinjaman kepada beberapa rakannya di sebuah kopitiam di Rawang di sini, kemudian memberikannya wang berkenaan dengan syarat dia membayar RM1,200 seminggu termasuk faedah pinjaman sekitar 10 peratus.

“Dia hanya mahukan salinan Mykad saya selain lokasi bengkel saya bekerja. Saya tidak fikirkan risiko ketika itu kerana yakin pertaruhan itu berbaloi dan saya akan mendapat pulangan berganda.

“Sebelum ini saya pernah bertaruh dan menang,” katanya.

Dia yang bertaruh dengan memasukkan wang ke dalam akaun bank ‘bookie’ bagaimanapun hampir pitam apabila pasukan Uruguay tewas kepada Colombia.

“Ketika itu barulah saya tahu sukar untuk membayar RM1,200 seminggu atau RM4,800 sebulan berikutan gaji saya hanya sekitar RM2,000 sebulan,” katanya.

“Saya cuba hubungi Along dan minta supaya jumlah bayaran hutang itu dikurangkan. Namun permintaan saya itu ditolak kerana Along mendakwa saya sudah bersetuju dengan syarat sebelum ini.

“Malah Along minta saya dapatkan bantuan dari ahli keluarga dan dan jual kereta jika tidak mampu bayar hutang itu. Malah Along berulang kali menghantar SMS dan datang ke bengkel saya meminta hutang berkenaan,” katanya.

Akibat tak dapat membayar hutang itu, mangsa bertindak mengambil ‘cuti’ dan lari bersenbunyi di rumah adiknya di Ampang. - Sumber MyMetro