GAZA - Hari ini adalah hari keempat Zionis melancarkan serangan di wilayah Gaza. Serangan kotor mencemarkan kesucian Ramadan itu begitu dirasai penduduk dunia terutama Malaysia.
‘Laknatullah Zionis!’ dan ‘Berdoa untuk Gaza’ antara bait kata paling banyak digunakan di laman media sosial untuk melahirkan kebencian dan kesedihan terhadap apa yang berlaku di bumi Palestin kini.
Angka korban terus meningkat
Serangan udara Israel di selatan dan tengah Genting Gaza meragut 20 lagi nyawa semalam termasuk tujuh wanita dan kanak-kanak menjadikan angka korban sejak tiga hari lalu melonjak kepada 72 orang dan lebih 500 orang lagi cedera parah.
Jurucakap perkhidmatan kecemasan Ashraf al-Qudra memaklumkan, dalam serangan pertama awal pagi semalam berlaku di sebuah kedai kopi di bandar Khan Yunis menyebabkan enam lelaki terbunuh dan sekurang-kurangnya 15 yang lain cedera.
“Selang enam minit kemudian Zionis sekali lagi melancarkan serangan ke atas kem pelarian Nusseirat di tengah Gaza diikuti tiga minit kemudian serangan menyasarkan dua rumah di Khan Yunis hingga mengorbankan tujuh orang dengan tiga wanita dan empat kanak-kanak,” katanya.
Difahamkan, puluhan siren serangan roket kedengaran dan dilihat menghujani wilayah Palestin yang dikepung awal pagi semalam dalam operasi digelar Operasi Perlindungan Sempadan Israel.
Operasi itu adalah kempen ketenteraan terbesar terhadap Gaza sejak 2012.
Media tempatan melaporkan, pihak berkuasa Israel sebagai berkata, lebih daripada 200 roket ditembak ke Israel dari Gaza sejak Isnin lalu dengan beberapa serangan terbabit mencapai ke Tel Aviv.
Serangan itu bagaimanapun dibalas dengan 550 bedilan roket dan serangan jet Israel dan memusnahkan sebahagian Bandar Gaza, Beit Hanoun dan Khan Younis.
Menerusi paparan stesen televisyen antarabangsa, kelihatan puluhan kereta perisai Israel terus membuat rondaan di sempadan Gaza, selepas Kabinet menggerakkan 40,000 pasukan simpanan tentera mereka untuk melancarkan serangan darat.
Namun, sehingga jam 8 malam waktu Malaysia, kesemua askar terbabit masih belum melakukan serangan darat dan dipercayai hanya menanti arahan dari pihak atasan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berterusan mengugut dan melakukan provokasi dengan menyatakan serangan akan dilakukan pada bila-bila masa.
“Serangan ini tidak perlu diwar-warkan, jika semua pihak sudah mengetahui waktu serangan maka ia bukan lagi disebut serangan. Saya hanya menanti masa sesuai untuk mengarahkan 40,000 askar bertindak,” katanya dengan angkuh ketika ditemu bual media tempatan.