GAZA - Hari ini adalah hari keempat Zionis melancarkan serangan di
wilayah Gaza. Serangan kotor mencemarkan kesucian Ramadan itu begitu
dirasai penduduk dunia terutama Malaysia.
‘Laknatullah Zionis!’ dan ‘Berdoa untuk Gaza’ antara bait kata paling
banyak digunakan di laman media sosial untuk melahirkan kebencian dan
kesedihan terhadap apa yang berlaku di bumi Palestin kini.
Angka korban terus meningkat
Serangan udara Israel di selatan dan tengah Genting Gaza meragut 20
lagi nyawa semalam termasuk tujuh wanita dan kanak-kanak menjadikan
angka korban sejak tiga hari lalu melonjak kepada 72 orang dan lebih 500
orang lagi cedera parah.
Jurucakap perkhidmatan kecemasan Ashraf al-Qudra memaklumkan, dalam
serangan pertama awal pagi semalam berlaku di sebuah kedai kopi di
bandar Khan Yunis menyebabkan enam lelaki terbunuh dan
sekurang-kurangnya 15 yang lain cedera.
“Selang enam minit kemudian Zionis sekali lagi melancarkan serangan ke
atas kem pelarian Nusseirat di tengah Gaza diikuti tiga minit kemudian
serangan menyasarkan dua rumah di Khan Yunis hingga mengorbankan tujuh
orang dengan tiga wanita dan empat kanak-kanak,” katanya.
Difahamkan, puluhan siren serangan roket kedengaran dan dilihat
menghujani wilayah Palestin yang dikepung awal pagi semalam dalam
operasi digelar Operasi Perlindungan Sempadan Israel.
Operasi itu adalah kempen ketenteraan terbesar terhadap Gaza sejak 2012.
Media tempatan melaporkan, pihak berkuasa Israel sebagai berkata, lebih
daripada 200 roket ditembak ke Israel dari Gaza sejak Isnin lalu dengan
beberapa serangan terbabit mencapai ke Tel Aviv.
Serangan itu bagaimanapun dibalas dengan 550 bedilan roket dan serangan
jet Israel dan memusnahkan sebahagian Bandar Gaza, Beit Hanoun dan Khan
Younis.
Menerusi paparan stesen televisyen antarabangsa, kelihatan puluhan
kereta perisai Israel terus membuat rondaan di sempadan Gaza, selepas
Kabinet menggerakkan 40,000 pasukan simpanan tentera mereka untuk
melancarkan serangan darat.
Namun, sehingga jam 8 malam waktu Malaysia, kesemua askar terbabit
masih belum melakukan serangan darat dan dipercayai hanya menanti arahan
dari pihak atasan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berterusan
mengugut dan melakukan provokasi dengan menyatakan serangan akan
dilakukan pada bila-bila masa.
“Serangan ini tidak perlu diwar-warkan, jika semua pihak sudah
mengetahui waktu serangan maka ia bukan lagi disebut serangan. Saya
hanya menanti masa sesuai untuk mengarahkan 40,000 askar bertindak,”
katanya dengan angkuh ketika ditemu bual media tempatan.