KAJANG: Menteri Besar Selangor, Azmin Ali menutup mulut terhadap dakwaan wujudnya cop amaran dalam bible Bahasa Malaysia dan Iban yang dipulangkan semula kepada Persatuan Bible Malaysia (BSM) bulan lalu.
Ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis di Gereja Holy Family Kajang di sini pada Ahad, Azmin hanya menjawab isu tersebut tela diselesaikan.
"Ia telah selesai, jangan timbulkan sebarang provokasi," kata Azmin ringkas sebelum meninggalkan premis berkenaan.
Sebuah portal berita melaporkan bible berkenaan telah dicop dengan tulisan dalam bahasa Melayu yang melarang bible tersebut diedarkan di Selangor selari dengan enakmen negeri.
Tulisan tersebut berbunyi: "Hanya untuk kegunaan orang bukan Islam sahaja dan tidak boleh diterbitkan atau digunakan mana-mana bahagian seperti yang termaktub dalam Seksyen 9 (1), Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.
Memetik sumber, laporan berita tersebut berkata BSM tidak langsung mengetahui mengenai amaran tersebut hinggalah bible berkenaan dipulangkan semula.
Januari lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menyerbu pejabat BSM di Petaling Jaya dan merampas 321 bible dengan alasan ia telah melanggar Enakmen Agama Bukan Islam, 1988 yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah.
Bible tersebut akhirnya dipulangkan semula kepada BSM bulan lalu, sebelum ia diedarkan kepada orang Kristian di Sarawak. - mStar