Showing posts with label azmin ali. Show all posts
Showing posts with label azmin ali. Show all posts

Menteri Besar Selangor Desak Batalkan Jom Heboh TV3 Esok





Azmin AliSHAH ALAM: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) membuat keputusan membatalkan semua acara hiburan dan program Temasya Selangor 15 menjelang tahun baru 2015.
Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata keputusan tersebuti sebagai tanda kasih dan simpati kepada semua rakyat yang mengalami bencana banjir dan menjimatkan perbelanjaan Kerajaan Negeri Selangor.
Azmin juga berkata Kerajaan Negeri Selangor telah mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam untuk membatalkan program Jom Heboh anjuran TV3 yang dijadualkan pada 27 dan 28 Disember 2014 di I-City, Shah Alam atas prinsip yang sama.
Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor juga menggesa Kerajaan Persekutuan meluluskan geran bantuan bancana alam secepat mungkin bagi membantu kerajaan-kerajaan negeri mengatasi bencana banjir serta meringankan beban rakyat dalam tempoh yang getir ini.
“Kerajaan Negeri Selangor juga telah berbincang dengan JAIS supaya semua masjid di Selangor mengadakan solat hajat sejurus solat Jumaat bagi memohon pertolongan dari Allah SWT agar keselamatan dan kesejahteraan rakyat di Negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak terus dilindungi dan dipelihara,” katanya pada sidang media tergempar di SUK.
 


Bible Bahasa Melayu Mula Tersebar Meluas Di Malaysia






KAJANG: Menteri Besar Selangor, Azmin Ali menutup mulut terhadap dakwaan wujudnya cop amaran dalam bible Bahasa Malaysia dan Iban yang dipulangkan semula kepada Persatuan Bible Malaysia (BSM) bulan lalu. 
Ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis di Gereja Holy Family Kajang di sini pada Ahad, Azmin hanya menjawab isu tersebut tela diselesaikan.

"Ia telah selesai, jangan timbulkan sebarang provokasi," kata Azmin ringkas sebelum meninggalkan premis berkenaan.





Sebuah portal berita melaporkan bible berkenaan telah dicop dengan tulisan dalam bahasa Melayu yang melarang bible tersebut diedarkan di Selangor selari dengan enakmen negeri.

Tulisan tersebut berbunyi: "Hanya untuk kegunaan orang bukan Islam sahaja dan tidak boleh diterbitkan atau digunakan mana-mana bahagian seperti yang termaktub dalam Seksyen 9 (1), Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

Memetik sumber, laporan berita tersebut berkata BSM tidak langsung mengetahui mengenai amaran tersebut hinggalah bible berkenaan dipulangkan semula.

Januari lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menyerbu pejabat BSM di Petaling Jaya dan merampas 321 bible dengan alasan ia telah melanggar Enakmen Agama Bukan Islam, 1988 yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Bible tersebut akhirnya dipulangkan semula kepada BSM bulan lalu, sebelum ia diedarkan kepada orang Kristian di Sarawak. - mStar




Azmin Ali Dapat Rizab Tunai RM3 Billion Untuk Rakyat Selangor







Dalam ucapan sulungnya selepas dilantik sebagai menteri besar Selangor yang baharu, Azmin Ali berikrar untuk memanfaatkan rizab tunai RM3 bilion dalam perbendaharaan negeri Selangor untuk "manfaat rakyat Selangor".

Menurut Azmin, beliau tidak mahu rizab itu kekal di atas kertas semata-mata.

"Setiap sen dana negeri Selangor adalah milik rakyat dan bukan milik pemimpin.

"Cara saya dana itu bukan di atas kertas tetapi diterjemahkan kepada program yang dapat memberi manfaat kepada rakyat Selangor," katanya dalam ucapan di hadapan rumah ibunya di Kampung Klang Gate Baru, Hulu Kelang, tengah hari ini.

Dalam ucapan sama, Azmin berikrar untuk menjalankan tugas secara turun padang dengan mendekati sendiri masalah penduduk Selangor.

"Banyak kerja yang tertangguh selama dua bulan ini.

"Cara kerja saya bukan dengan tie (tali leher) dan kot tetapi dengan lengan pendek dan seluar panjang... turun ke daerah untuk mendengar sendiri masalah rakyat dan selesaikan semuanya," katanya.

Terus masuk pejabat

Beliau memaklumkan orang ramai yang beliau akan terus ke pejabat menteri besar pada petang ini juga untuk membincangkan pelantikan exco yang akan diumumkan pada hari Jumaat ini.

"Saya juga akan masuk ke pejabat petang ini untuk berbincang tentang barisan exco yang baru," katanya.

Beliau turut berhasrat meningkatkan imej penjawat-penjawat awam Selangor untuk lebih dikenali sebagai penjawat awam yang cekap apabila bekerja dalam satu pasukan.

"Saya akan mengangkat martabat penjawat awam di negeri Selangor sebagai pasukan yang boleh menjalankan tanggungjawab secara kolektif," katanya dalam ucapan di hadapan kira-kira 300 orang hadirin.

Hadirin yang hadir rata-ratanya kelihatan ceria walaupun cuaca panas terik.

Mereka menghadiri kenduri kesyukuran yang diadakan di perkarangan rumah ibu Azmin, Che Tom Yahya di Kampung Klang Gate Baru, Ulu Klang.

Terdahulu, beliau berikrar untuk terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai menteri besar baru dalam mengekalkan keharmonian di Selangor bermula hari ini.

Imamkan 300 orang

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas selepas mengimamkan solat Zuhur berjemaah di masjid berhampiran rumah ibunya, Masjid Kampung Klang Gate Baru, Hulu Kelang pada jam 1.25 tengah hari tadi.

"Amanah ini bukan satu keistimewaan tetapi tanggungjawab yang cukup besar untuk mengangkat martabat orang Melayu-Islam khususnya.

"Saya harap dengan dokongan tuan-tuan saya dapat jalankan tanggungjawab ini dengan jujur dan ikhlas kerana akhirnya saya perlu menjawab pada Allah Taala.

"Jadi saya berharap sekarang adalah waktu untuk kita mula bekerja.

"Saya juga telah menerima akujanji dengan Tuanku Sultan Selangor untuk menjaga keharmonian di negeri ini," katanya dalam ucapan tersebut di hadapan kira-kira 300 orang menyertai solat Zuhur berjemaah diimamkan Azmin.

Satu kenduri kesyukuran menyambut pelantikan Azmin sebagai MB akan berlangsung pada bermula jam 2.30 petang ini di kediaman ibunya di kampung yang sama.

Azmin mengangkat sumpah sebagai MB baharu menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim di Istana Alam Shah Klang, pagi tadi.
 SUMBER MALAYSIAKINI




Azmin Ali Dilantik Menteri Besar Selangor





Sultan Selangor telah berkenan melantik Timbalan presiden PKR Azmin Ali sebagai menteri besar yang baru berkuatkuasa esok.

Majlis angkat sumpah akan berlangsung di Istana Alam Shah, Klang jam 10.30 pagi esok.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, ketika dihubungi Malaysiakini, mengesahkan surat pelantikan itu telah dihantar kepada Azmin hari ini.

Sementara itu, Munir dipetik oleh Bernama sebagai berkata pihak Istana Selangor akan keluarkan kenyataan akhbar esok bagi memberi penjelasan mengapa Azmin dipilih sebagai menteri besar Selangor yang baru.

Ketika ditanya mengenai surat pelantikan itu yang tersebar di media
sosial, Mohamad Munir berkata perkara itu berada di luar kawalan pihaknya.

Azmin akan menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tamat perkhidmatan sebagai menteri besar hari ini.

Petang tadi, Khalid diraikan dalam majlis perpisahan yang dihadiri lebih 200 kakitangan.

Azmin kemudiannya pemberita bahawa pelantikannya sebagai menteri besar Selangor mendapat restu sebulat suara parti.

Ini sekaligus melabuhkan tabir krisis pelantikan menteri besar Selangor.

Azmin mengesahkan kepada pemberita di ibu pejabat PKR di Tropicana bahawa kepimpinan parti itu telah bersetuju untuk menyokong beliau sebagai MB selepas bermesyuarat dua jam dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan pemimpin parti lain.

Katanya, beliau bersyukur bahawa baginda sultan telah memperkenan pelantikannya sebagai menteri besar dan pihak parti telah sebulat suara merestuinya.

Apabila ditanya sama ada dia tahu sebab mengpa pencalonan Wan Azizah ditolak, Azmin hanya berkata: "Tiada sebab diberikan."

Surat pelantikannya diterima petang ini dan ADUN Bukit Antarabangsa itu mengesahkan beliau akan mengangkat sumpah-pagi esok.

Sebelum itu, mesyuarat Azmin dengan Anwar dan Wan Azizah selesai pada kira-kira jam 7.30 malam.

Anwar dan Wan Azizah meninggalkan ibu pejabat untuk menghadiri mesyuarat Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur.

Ketiga-tiga mereka tersenyum ketika mereka keluar dari bilik mesyuarat.

Sementara itu, PAS mengucapkan tahniah kepada Azmin Ali ekoran pelantikannya sebagai menteri besar Selangor yang baru.

Menulis dalam facebook, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata semoga Pakatan Rakyat terus utuh. - SUMBER: Malaysiakini