Showing posts with label DNA. Show all posts
Showing posts with label DNA. Show all posts

JAKIM SAHKAN HP SAUCE, TABASCO PEPPER SAUCE MENGANDUNGI DNA BABI

Semua pemegang dan pemohon baru Sijil Halal Malaysia yang menggunakan produk HP Sauce dan Tabasco Pepper Sauce diarahkan menukarnya kepada produk lain yang memiliki sijil halal berikutan penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam produk berkenaan.
Menurut Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Sazali Harun, mereka juga diminta melakukan proses samak dan mengemukakan bukti surat akuan samak daripada Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing kepada Jakim.
“Jakim sebelum ini telah mengambil sampel produk tersebut dan keputusan Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan terdapat DNA babi di dalamnya.

Mereka juga dikehendaki untuk mengemukakan resit pembelian produk baru kepada pihak kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam kenyataan yang berasingan, beliau turut memberitahu, Sijil Pengesahan Halal Malaysia bagi Syarikat Lucky Food Processing Sdn. Bhd., ditarik balik berkuat kuasa serta-merta berikutan penemuan DNA babi dalam produk Chicken Burger Patties dan Chicken Taiwan Sausage keluarannya.
Penarikan sijil halal terhadap syarikat tersebut dilakukan berdasarkan keputusan mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia yang diadakan pada 22 April lalu.
Utusan Malaysia

 

Gelatin Babi Haram


Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia (ASWAJA) Zamihan Mat Zin membidas pendapat ulama yang tampil dengan “fatwa songsang” bahawa makanan mengandungi gelatin babi atau unsur babi adalah halal untuk orang Islam.

Beliau juga mahu pihak berkuasa mendakwa mereka yang menyebarkan fahaman itu di Malaysia atas alasan ia bertentangan dengan dalil al-Quran serta pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Oleh kerana komponen daging babi sinonim dengan kulit, tulang,urat, lemak, minyak dan lain-lain, maka pengharaman menjadi umum merangkumi keseluruhan babi dan seisinya.

"ASWAJA menyeru agar pihak berkuasa agama menyiasat dan mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang sering mencetus kontroversi dan mengeluarkan fatwa agama yang songsang.

“Ini kerana fatwa berkenaan boleh meresahkan dan menjejaskan keharmonian umat Islam di negara ini," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Ahad lalu, pendakwah terkenal Mohd Kazim Elias membidas sarjana Islam Dr Yusuf Al-Qardhawi yang menulis di lamannya bahawa gelatin haiwan termasuk babi halal digunakan, termasuk dalam produk makanan kerana ia ditransformasikan menjadi bahan lain.

"Ni yang terbaru dia kata DNA babi halal dimakan, sebab dah diproses menjadi lain, dah pening kepala dah, dah keluar dah Facebook dah keluar dalam tulisan dia dah," beliau dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian.

Berhujah menolak pandangan penerima anugerah tokoh maal hijrah Malaysia 2009 itu, Kazim berkata, keempat-empat mazhab Islam berpegang teguh bahawa apa sahaja berkaitan babi tidak boleh dimakan.

Tanpa menyebut nama, bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari pula tampil menyatakan kejanggalannya bagi seorang “penceramah” membidas Yusuf dan Majlis Fatwa Eropah yang membincangkan isu itu.

“Sesiapa ingin mengulas sesuatu hendaklah mempunyai ilmu pengetahuan tentang apa yang dia ulas. Jika tidak ia hanya menampakkan kedangkalan diri dalam dunia ilmu,” sindir Dr Asri di laman Facebook beliau.

Katanya, Majlis Fatwa Eropah dan Persidangan Fekah Perubatan yang berlangsung di Maghribi pada 1997 telah pun membahaskan perkara itu berkaitan sifat sesuatu bahan dan bukannya babi sebagai makanan.

“Isunya, bukan ingin makan seketul babi goreng ataupun sup babi, tetapi ingin memakan coklat, ataupun biskut tapi terdapat kesan DNA babi disebabkan bahan tertentu yang asal-usulnya babi namun telah berubah sifat kimianya,” tulisnya.
 Sumber: MALAYSIAKINI