-
Rossa
KELUNAKAN suaranya pasti mampu mencairkan hati setiap pendengarnya.
Setiap kali menampilkan buah tangan baharu, hasilnya pasti tidak
mengecewakan.
Selepas dua tahun mengumpul material, akhirnya penyanyi popular
seberang, Datuk Rossa kini memperkenalkan “Love, Life & Music”
sebagai album studio solonya yang ke enam.
Sepuluh lagu yang terkandung dalam album ini bagaimanapun bukanlah
calang-calang kerana ia sentuhan daripada beberapa komposer hebat di
Indonesia seperti Melly Goeslow dan Badai Krispatih.
Bercerita mengenai album itu, Rossa memberitahu kehadiran album ini sedikit sebanyak berkaitan dengan kisah peribadinya.
“Secara keseluruhannya, boleh dikatakan album ini berkisarkan tentang kehidupan.
“Di mana ia turut menceritakan pengalaman dan kehidupan saya sebagai
seorang penyanyi. Sudah tentu juga ia tentang muzik,” katanya.
Selain itu, album kali ini turut menampilkan konsep yang lebih matang bersesuaian dengan usia penyanyi itu sendiri.
“Album ini bukanlah untuk hiburan semata-mata. Apa yang saya mahukan ia
memiliki sisi lain yang lebih matang memandangkan usia saya juga telah
mencecah 35 tahun.
“Sebagai seorang penyanyi, bagi saya kualiti dan elemen komersial
adalah antara perkara terpenting dalam menghasilkan sebuah album,”
tuturnya.
“Love, Life & Music” mengandungi sebanyak 10 buah lagu baru
antaranya adalah “Jatuh Cinta Setiap Hari”, “Sisakan Hatimu”, “Kamu Yang
Ku Tunggu”, “Hijrah Cinta”, “Bukan – Bukan”, “ Setia Menanti” dan
sebagainya.
Duet bersama Afgan, Hafiz
Selain menampilkan muzik yang lebih matang, album kali ini juga
menampilkan kolaborasi antara Rossa bersama dua penyanyi yang tidak
kurang hebatnya iaitu Afgan dan Hafiz Suip menerusi lagu “Kami Yang Ku
Tunggu” dan “Salahkah”.
Biarpun pada awalnya Rossa sukar mendapatkan keserasian menjayakan ke
dua lagu duet tersebut bersama ke dua penyanyi itu, namun kerja keras
mereka akhirnya membuahkan hasil yang baik.
“Bukan kerana teknik nyanyian yang bermasalah tetapi bagaimana cara
untuk kami menyanyi pada tahap atau penghayatan yang sama memandangkan
perbezaan usia kami.
“Tapi Alhamdulillah, semuanya dapat berjalan dengan baik dan saya berpuas hati dengan hasilnya,” ujar Rossa.