Showing posts with label hukum. Show all posts
Showing posts with label hukum. Show all posts

Ayatollah Dakwa Kelajuan Internet Melanggar Hukum Islam






shamseddin20130404005443820Seorang ulama terkemuka di Iran, Grand Ayatollah Nasser Makarem Shirazi berkata perkhidmatan mudah alih 3G adalah menyalahi undang-undang syariah dan melanggar norma dan moral manusia.
Beliau mengingatkan kementerian maklumat Iran yang menyediakan khidmat internet mudah alih 3G supaya menyucikan perkhidmatan itu dari anasir anasir negatif bagi memastikan “keselamatan moral dan psikologi” untuk pengguna.
“Teknologi barat seperti air berlumpur dan tidak bersih. Air adalah darah kehidupan, tetapi apabila ia menjadi keruh dan tidak bersih ia perlu disucikan,” ujar ulama konservatif itu kepada Tehran Times baru baru ini.
Walaupun begitu, ulama ini sebenarnya bukanlah anti teknologi apabila beliau sendiri mempunyai laman web di mana para pengikut boleh bertanyakan soal agama dan perkara lain. Sebelum ini pun beliau pernah menyentuh beberapa isu moral lain seperti iklan makanan haiwan peliharaan yang dianggap sebagai terlampau memuja haiwan yang akan mengundang perkara negatif.
Baru baru ini juga, Presiden Iran Hassan Rouhani berkempen dengan janji akan memberikan akses internet yang lebih baik kepada rakyatnya dan berkata mereka tidak wajar menutup pintu ke dunia luar terhadap generasi muda.
“Kalau kita tidak maju ke arah generasi mudah alih yang baru hari ini, paksa kami dan kita akan lakukan esok. Jika tidak, lusa,” tegasnya.
SUMBER: Business Insider




Hukum Hari Valentine

Amalan merayakan Hari Valentine atau Hari Memperingati Kekasih yang tiba setiap 14 Feb tidak pernah dianjurkan oleh Islam.
“Roh perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam,” inilah kata putus Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia yang bersidang buat kali ke-71, hampir enam tahun yang lalu berkaitan Valentine Day.
“Islam tidak menolak apa sahaja yang baik yang datang dari Barat apatah lagi jika ia berkaitan dengan berkasih sayang,” kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

“Kita menerima dan meraikan Hari Ibu dan Hari Bapa yang mengingatkan kasih sayang kepada ibu dan bapa kita,” katanya ketika merasmikan majlis pelancaran Kempen Awasi Jerat Valentine’s Day pada Jumaat.
Namun katanya Islam juga pada masa yang sama akan menolak sesuatu yang datang waima dari Timur sekalipun jika ia bertentangan dengan prinsip dan amalan agama Islam.
“Ia bukan persoalan atau isu asal tempat kedatangan sesuatu sambutan sesuatu perayaan dan keraian itu, tetapi amalan atau ritual yang dilakukan untuk merayakan hari-hari tertentu itu,” katanya.
Wan Mohamad berkata Islam bukan agama yang menyekat atau menghalang untuk penganutnya meluahkan kasih sayang tetapi apa yang disekat adalah perbuatan maksiat yang dilakukan semasa menyatakan kasih sayang itu.
“Jika kita kasih pada orang, itu bukan maksiat tetapi kalau kita adakan hubungan diluar pernikahan, itu maksiat. Itu bezanya,” ujarnya.
Katanya beliau yakin bukan sahaja Islam, agama lain juga meletakkan batasan dan etika yang perlu penganutnya patuhi.
Beliau berkata bagi Hari Valentine, meraikannya sangat jelas ia terarah kepada amalan maksiat.
“Itulah sebabnya fatwa dikeluarkan untuk menyekat dan menasihati orang Islam supaya tidak menyambut Hari Valentine dengan melihat dari segi sejarah dan realiti sekarang ini, di mana-mana pun ia sinonim dengan amalan maksiat,” katanya.
Sebagai perbandingan, Wan Mohamad berkata fatwa juga memutuskan sekiranya rakan bukan beragama Islam mengadakan majlis menyambut hari perayaan mereka, orang Islam boleh menghadirinya.
Namun jika majlis sosial itu menyajikan minuman beralkohol, “majlis itu sudah rosak dan kita tidak boleh hadir,” katanya.
“Kita juga boleh meraikan kawan kita yang meraikan hari perayaan agama mereka tetapi kita ditegah daripada terlibat dengan ritual agama itu sebab itu sudah masuk ke dalam isu akidah,” jelasnya.
Beliau berkata penjelasan juga perlu dibuat agar Islam tidak difitnah dengan mengatakan agama itu tidak boleh meraikan rakan bukan Islam yang meraikan Hari Natal, Hari Diwali, Tahun Baru Cina, Hari Gawai dan sebagainya.
“Kita hanya tidak boleh terlibat dengan ritual ibadat agama lain. Acara sosial, kita berhimpun dengan mereka yang bukan Islam, itu tidak ada masalah.
“Pemimpin kita juga hadir majlis sebegitu. Malah Mufti-mufti kita hadir ke majlis jamuan teh yang dianjurkan oleh jiran yang menyambut Hari Natal,” katanya.
Pelancaran Kempen Awasi Jerat Hari Valentine tersebut adalah untuk mengajak umat Islam terutamanya golongan remaja supaya tidak meraikan sambutan Hari Kekasih Isnin ini.
“Islam menganjurkan umatnya supaya menjadikan jalinan kasih sayang sesuatu yang abadi. Ungkapan kasih sayang bukan seminit untuk sehari dan sehari untuk setahun. Ia adalah sepanjang hayat,” kata Wan Mohamad

 

Hukum Daging Landak

landak-hukum
Soalan; assalam..ustaz,apakah hukum makan daging landak..? ianya juga buas dan bertaring..trm ksh.
Jawapan;
Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ‘ala Rasulillah.
Yang dilarang oleh hadis ialah binatang buas bertaring yang menggunakan gigi taringnya untuk menerkam dan membunuh mangsanya. Saya tidak pasti apakah landak mempunyai gigi taring yang berfungsi sebegitu. Adapun pandangan para ulamak tentang landak adalah seperti berikut;

1. Mazhab Hanafi dan Hanbali; haram memakannya kerana ia tergolong dalam binatang-binatang merayap/merangkak yang dipandang keji (khabaith), iaitu satu kelompok dengan tikus. Dalam al-Quran Allah berfirman (dengan maksud); “Dan dia (yakni Nabi Muhammad SAW) mengharamkan ke atas kamu yang keji-keji” (surah al-A’raf, ayat 157).
2. Mazhab Maliki dan Syafiie; harus memakannya kerana walaupun ia dari jenis merangkak, namun tidak dipandang keji oleh manusia, kerana itu ia tidak termasuk dalam ayat tadi. Dalam kitab Hayah al-Hayawan al-Kubra –kitab turas yang membincangkan tentang haiwan-haiwan-, pengarangnya (ad-Dumairi, wafat 808 hijrah) menjelaskan; Imam Syafiie berkata; “Landak halal dimakan kerana orang-orang Arab memandangnya sebagai makanan yang elok/baik” (2/361). Di antara kaedah dalam mazhab Syafiie -dalam menentukan jenis haiwan yang halal dan yang haram-; “Setiap haiwan yang dipandang elok/baik oleh orang Arab maka ia adalah halal, kecuali terdapat dalil Syarak yang mengharamkannya”.[1]
Ada diriwayatkan Nabi SAW bersabda; “Landak adalah dari binatang-binatang yang keji” (Musnad Imam Ahmad; 5954. Sunan Abu Daud; 3799. Dari Abu Hurairah RA). Namun ulamak-ulamak hadis menegasnya; sanad hadis ini adalah dhaif kerana terdapat beberapa rawi yang majhul[2], tidak boleh dijadikan hujjah dalam hukum-hakam. Kerana itu para ulamak masih berikhtilaf tentangnya (landak). Ulamak yang berpandangan dia binatang yang baik/elok, mereka menghalalkannya. Yang berpandangan dia binatang yang keji, mereka mengharamkannya.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/144 (perkataan “at’imah”).
2. Kifayatul Akhyar, hlm. 522-523.
3. Hayah al-Hayawan al-Kubra, Muhammad bin Musa ad-Dumairi, 2/361.
4. al-Fiqh al-Manhaji, 3/69.
[1] Kifayatul Akhyar, hlm. 522-523. Namun orang Arab yang menjadi rujukan dalam masalah ini ialah;
a) Orang-orang Arab yang hidup pada zaman Nabi SAW.
b) Yang hidup/tinggal di bandar dan kawasan yang subur atau yang berhampiran dengannya. Ini kerana orang-orang Arab yang tinggal di kawasan pedalaman dan hidup berpindah-randah kebiasaan mereka memakan apa sahaja binatang yang melata dan merangkak.
c) Yang mempunyai tabi’at yang bersih.
d) Dirujuk ketika musim subur dan senang (yakni bukan ketika musim kebuluran dan melarat yang menyebabkan mereka terpaksa makan apa sahaja yang ada).
(Lihat; Kifayatul Akhyar, hlm. 522-523 dan Al-Fiqh al-Manhaji; 3/69).
[2] Lihat; Bulughul-Maram, Imam Ibnu hajar (kitab al-At’imah; 1365) dan Tahqiq Musnad Ahmad, Syeikh Syu’aib al-Arnaut dan beberapa ulamak yang lain (hadis no. 8954).
Sumber: Ilmu dan Ulamak

 

Jumaat, Jual Beli, Hukumnya?

jual beli solat jumaat
Sudah menjadi kebiasaan, disebabkan hari Jumaat adalah hari kerja di Malaysia, lelaki yang bekerjaya terpaksa terkejar-kejar mengambil waktu rehat tengahari untuk makan tengahari dan juga menunaikan solat fardhu Jumaat secara berjemaah. Namun, dalam ketika itu, ramai yang tidak sedar setiap minggu, mereka mungkin membeli makanan yang berulamkan dosa.
Sebelum ini, saya pernah mengulas berkenaan hal ini melalui siaran ‘Tanyalah Ustaz TV9′ dan juga wawancara bersama Utusan Malaysia. Namun melihat kepada kekerapan dan kurang sensitiviti kalangan umat Islam di Malaysia khususnya. Satu penulisan ringkas yang khusus berkenaan hal ini adalah perlu.
Persoalan jual beli yang terus berlangsung di kalangan peniaga dan pembeli lelaki selepas azan pada hari Jumaat perlu dipandang serius atau ia akan berterusan. Lebih kurang menyenangkan, apabila melihat peniaga-peniaga ini berkhemah di luar masjid, mengambil untung atas perkumpulan umat Islam yang ingin menunaikan solat Jumaat, sedang mereka menjadi penyebab kepada dosa.
PENGHARAMAN JUAL BELI SELEPAS AZAN DI HARI JUMAAT
Solat Jumaat adalah wajib hanya ke atas lelaki baligh dan bukan wanita. Justeru setiap urusniaga di antara wanita dengan wanita selepas azan pertama atau kedua dikumandangkan pada hari Jumaat adalah sah dan harus. Justeru, ia tidak termasuk di dalam perbincangan para ulama dan bukan pula fokus artikel ini. Ia adalah satu keharusan yang disepakati oleh keempat-empat mazhab terbesar dalam Fiqh Islam.
Demikian juga halnya bagi mereka yang tidak wajib solat jumaat kerana sebab lain seperti sakit, musafir dan sebagainya.
Perbincangan hukum hanya berkisar kepada para lelaki, sama ada peniaga lelaki, pembeli lelaki atau kedua-duanya sekali yang sihat, baligh dan tidak bermusafir.
Asas hukum adalah dari surah al-Jumaat ayat 9 yang maksud-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Ertinya :Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.
AZAN PERTAMA ATAU KEDUA?
Walaupun telah ijma’[1] di kalangan ulama akan pengharaman jual beli berdasarkan ayat di atas, mereka berbeza ijtihad dalam menentukan pengharaman itu jatuh selepas azan pertama atau kedua.
Perlu difahami bahawa azan Jumaat di zaman Nabi s.a.w, Abu Bakar as-Siddiq r.a dan Umar r.a hanyalah sekali sahaja, iaitu di ketika khatib (imam) naik ke atas mimbar untuk memulakan khutbah. Di zaman pemerintahan khalifah Uthman r.a, bilangan umat Islam bertambah lalu diperkenalkan azan kedua dan seterusnya ketiga (berfungsi sebagai iqamah).
Namun, hasil daripada kewujudan lebih dari satu azan selepas zaman Uthman, para ulama sekali lagi perlu berijtihad dalam menentukan azan manakah yang mesti tiada lagi jual beli selepasnya. Mazhab Maliki dan Hanbali jelas dan tegas bahawa pengharaman adalah selepas azan kedua iaitu di ketika khatib sudah naik ke atas mimbar, ia juga bertepatan dengan suasana di ketika turunnya ayat Al-Quran, para masa hayat baginda Nabi s.a.w.[2]
Imam At-Tohawi Al-Hanafi menegaskan :-
المعتبر الأذان عند المنبر بعد خروج الإمام ، فإنه هو الأصل الذي كان للجمعة على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم
Ertinya : Azan yang terpakai (dalam hal ini) adalah yang ketika keluar imam di atas mimbar, maka itulah yang asal sebagaimana Jumaat di zaman baginda Nabi s.a.w (Mukhtasar at-Tohawi, hlm 24)
Namun demikian, ulama mazhab Hanafi kelihatan mempunyai berbilang pandangan dengan majoriti di antara mereka berijtihad azan kedua adalah ‘pasti haram’, cuma terdapat sebahagian besar mereka yang juga berpendapat pengharaman bermula sejak dari azan pertama (azan masuk waktu) lagi atau selepas tergelincirnya matahari pada hari tersebut.[3] Ini bermakna, mazhab Hanafi lebih tegas dalam hal ini dan disepakati oleh keempat-empat mazhab, berjual beli selepas azan kedua adalah haram.
Imam Ibn Kathir Al-Syafie menyebut :
اتفق العلماء على تحريم البيع بعد النداء الثاني
Ertinya : Para ulama bersepakat berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan kedua ( Tafsir Ibn Kathir, 4/367)
BERDOSA SAHAJA ATAU AQAD JUGA BATAL?
Walaupun berjualbeli di waktu itu adalah haram yang beerti berdosa atas si penjual dan pembeli, namun adakah aqad jual beli mereka terbatal?
Jika kesalahan ini dilakukan, dosa yang ditanggung adalah satu peringkat, manakala sah batal transaksi itu pula adalah satu peringkat yang lain. Jika aqad tidak sah, beerti pemilikan harga yang diperolehi oleh penjual adalah batal dan demikian juga pemilikan pembeli ke atas barangan beliannya. Jika itu berlaku, beerti kedua-dua mereka menggunakan harta milik orang lain dan berterusan keadaan itu sehingga akhir hayat mereka dalam keadaan penuh syubhat dan bermasalah.
Dalam hal ini, para ulama tidak sepakat dalam menanggapi kesahihan atau terbatalnya aqad. Para Ulama terbahagi kepada dua kumpulan :
Pertama : Aqad adalah sah dan hanya dosa ditanggung oleh penjual dan pembeli. Ia adalah ijtihad dari mazhab Hanafi, Syafie dan sebahagian Maliki.
Kedua : Aqad batal dan berdosa ; Ia adalah pendapat mazhab Hanbali dan majoriti Maliki.
Namun, berdasarkan penelitian, pendapat pertama adalah lebih kukuh, khususnya adalah rukun dan syarat jual beli telah semuanya dipenuhi, kecuali ia melanggar waktu jualan yang diharamkan sahaja, atas kesalahn itu dosa sahaja ditanggung tanpa pembatalan aqad.
Apapun, amat perlu umat Islam di Malaysia dan dimana sahaja untuk lebih berhati-hati dalam hal ini. Justeru, amat digalakkan agar dapat dinasihatkan kepada para peniaga dan semua warga Muslim yang wajib ke atas solat Jumaat untuk menghindari kesalahan ini. Kita bimbang,akibat kejahilan, ramai yang melanggarnya secara berulang kali.
KESIMPULAN
Kesimpulan, jual beli itu akan jatuh haram hanya apabila:
a) Dilakukan selepas azan kedua sewaktu imam berada di atas mimbar.
b) Dilakukan oleh lelaki (sama ada sebagai peniaga atau penjual) yang wajib solat Jumaat.
c) Mengetahui berkenaan hukum haram ini, dan wajiblah ke atas individu mukallaf untuk mempelajarinya. Wajib pula untuk menyampaikannya bagi yang mengetahui.
Saya amat berharap agar para khatib dapat mengingatkan perkara ini setiap kali mereka berada di atas mimbar, juga diingatkan oleh para bilal sebelum mereka melaungkan azan kedua. Digalakkan pula bagi orang ramai untuk mengedarkan tulisan ini di masjid-masjid bagi menyedarkan orang ramai.
Sekian,
Zaharuddin ABd Rahman
26 Oktober 2009

Hukum Bernazar Sebenarnya

nazar
Nazar hanya sah apabila ia diucapkan dengan lisan. Hal ini menjadi kaedah am dalam hukum dan amalan. Sebagaimana hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam:
إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا مَا لم تعْمل بِهِ أَو تَتَكَلَّم
“Sesungguhnya Allah Ta’ala telah mengampuni umatku apa yang dibisikkan dalam hati selama mana ia tidak dilaksanakan atau diucapkan” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Tidak ada lafaz yang khusus buat nazar. Cukup dengan lafaz yang menunjukkan ke arah melazimkan diri dengan sesuatu.

Sumber: IslamItuIndah