-
Heliza Hilmi
RAMADAN adalah bulan mulia yang penuh keberkatan dan keinsafan.
Inilah saat-saat paling indah dan bermakna buat seluruh umat Islam
seluruh dunia meningkatkan amal ibadah kepada yang Maha Pencipta.
Tidak ketinggalan daripada perkara yang sama, penyanyi Heliza Hilmi
turut menggunakan peluang yang sama untuk terus istiqamah menjalani
aktiviti dakwahnya.
Teruja dengan kehadiran Ramadan, Heliza akui mahu memanfaatkan peluang yang ada untuk menjadi insan yang lebih baik.
“Bagi saya, setiap Ramadan memang ada keistimewaannya. Apa yang
membuatkan bulan ini bermakna apabila kita dapat menikmatinya dengan
penuh keimanan dan harapan.
“Inilah peluang terbaik untuk berbuat amal dan mendekatkan diri
kepadaNya supaya bila keluar dari bulan ini, kita akan menjadi seorang
umat Islam yang lebih baik.
“Jadi dengan jadual saya yang padat sepanjang bulan ini, saya berharap
semoga ALLAH permudahkan segalanya,” ujarnya ketika ditemui pada majlis
sidang akhbar 'Fitrah Ramadan 2014' anjuran kumpulan Usrah Fitrah (UF),
di Kafe Keningau Village, Shah Alam, kelmarin.
Bercerita lanjut mengenai pembabitannya terhadap program sepanjang
Ramadan, Heliza yang juga merupakan ahli jawatankuasa UF mengalu-alukan
orang ramai dan penggiat industri seni untuk turut serta aktiviti yang
bakal dijalankan.
“Sepanjang bulan ini, pelbagai aktiviti telah kami aturkan seperti kuliah, sambutan Nuzul al-Quran dan Qiam Malam Akhir.
"Kalau boleh sesiapa yang berkesempatan untuk turut serta, kami amat alu-alukan kehadiran mereka.
“Banyak manfaat yang boleh diperoleh jika terlibat sama dalam program-program seperti ini,” katanya.
Bermula esok, UF akan meneruskan aktiviti kuliah yang jalankan pada
setiap Isnin di mana pengisiannya akan ditambah dengan majlis berbuka
puasa dan solat Tarawih.
Manakala aktiviti bersama masyarakat, UF akan menjalankan sambutan
Nuzul al-Quran pada 15 Julai di Masjid Al Najihin, Bandar Sri
Permaisuri, Cheras dan Qiam Malam Akhir pada sepuluh malam terakhir
Ramadan di Masjid Assyakirin, KLCC.
Single baharu
Dalam perkembangan lain, Heliza turut memberitahu dalam masa yang
terdekat dia bakal tampil dengan single terbaharu berjudul Jom Selawat.
“Alhamdulillah, selepas tampil dengan dua lagu iaitu Jom Zikir dan Lah Tahzan, saya akan keluar dengan lagu baharu ini.
“Proses pembikinan lagu ini telah pun siap sepenuhnya cuma muzik videonya masih belum siap.
"Insya-ALLAH dalam sama terdekat saya akan hantar lagu ini ke stesen
radio,” katanya yang akan memperlahankan aktiviti nyanyiannya sepanjang
Ramadan ini.
Selain itu, bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim ke
lima ini juga memberitahu bakal tampil dengan koleksi pakaian muslimah
dan tudung terbaharu di bawah jenamanya 'Heliza Helmi Hijab' dan 'Falah
Abiyana' sempena sambutan Aidilfitri akan datang.