GHANIYA sewaktu berduet dengan Opick untuk lagu Sahabat Sejati yang merupakan ciptaannya.
Lagu-lagu pemilik nama sebenarnya Aunur Rofiq Lil Firdaus yang berasal dari Jawa Timur ini sering kali mendapat tempat di hati pendengarnya di Malaysia.
Dalam kesibukannya bergelar penyanyi dakwah, Opick bersama isterinya, Dian Rusita Ningrum turut sibuk menjaga anak-anak yatim di rumah mereka yang terletak di Jakarta Timur yang dipanggil Baitul Umah.
Saya mengambil anak-anak angkat dan menjaga mereka di dalam satu rumah bersama-sama keluarga saya. Anak kandung saya sendiri ada empat orang dan ditambah lagi dengan 20 orang anak-anak yang saya jaga ini akan dididik untuk pandai mengaji al-Quran dan belajar bersolat.
Mereka bukan sahaja anak yatim piatu malah ada sahaja anak-anak jalanan fakir miskin yang dititipkan kepada saya untuk dijaga. Jika saya tiada di rumah, ada beberapa ustaz yang akan mengalas tugas mengajar itu semua. Setakat ini Alhamdulillah, kesemua anak-anak sudah mulai pandai menghafaz beberapa juzuk al-Quran," jelasnya lebih lanjut.
Duet bersama anak
Kehadiran Opick yang popular dengan lagu Rapuh ke sini adalah untuk mempromosi album terbaharunya yang berjudul Sahabat Sejati yang turut memuatkan 10 buah lagu dan dia mengambil masa selama enam bulan bagi menghasilkan album ini.
Semua lagu-lagu dalam album ini mempunyai cerita sendiri, antaranya saya menceritakan tentang kerinduan terhadap Tuhan, tentang nasihat dan juga tentang taubat," katanya.
Selain Sahabat Sejati, lagu-lagu lain yang turut dimuatkan ke dalam album ini ialah Maha Pemurah, Tuhan Beri Kami Cinta, Sentuh Aku, Kembalilah dan banyak lagi.
Untuk album ke-10 miliknya itu, Opick turut berduet dengan anak perempuan sulungnya, Ghaniya DSalma Firdaus atau lebih senang dipanggil Ghaniya yang baru berusia 11 tahun.
Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, ternyata Ghaniya memiliki bakat sama seperti ayahnya itu. Buktinya, paduan suara mereka boleh didengar melalui lagu yang juga merupakan single Opick bertajuk Sahabat Sejati yang dihasilkan sendiri oleh anaknya.
Buat penyanyi berusia 40 tahun ini, dia sama sekali tidak menghalang anaknya itu untuk terus menyanyi sama sepertinya apabila dewasa kelak.
Sejujurnya, isteri saya menyuruh dia menyanyi di awal usia enam tahun lagi, tetapi saya katakan tunggu dahulu, biar dia sudah pandai menulis lagu sendiri, barulah saya izinkan.
Kini dia sudah pandai menghasilkan beberapa buah lagu dengan usahanya sendiri. Ini merupakan penampilan pertamanya bersama saya," kata Opick ketika ditemui di majlis pelancaran albumnya baru-baru ini.
Ghaniya ketika ditanya, berkata, dia menulis lagu sejak usia lapan tahun lagi dan sehingga kini dia telah berjaya menghasilkan lima buah lagu dan salah satunya adalah lagu Sahabat Sejati.
Saya dapat idea untuk buat lagu-lagu ini semua ketika berada di taman atau di mana-mana sahaja. Sejurus saya dapat ilham itu, terus tercipta untuk membuat lagu," katanya.
Sementelahan lagi, jika kita lihat drama-drama di kaca televisyen, banyak memainkan lagu-lagu Opick sebagai muzik latar cerita mereka dan sudah pasti empunya lagu ini ada komennya tersendiri.
Saya tidak menghalang mereka melakukan itu dan saya berasa syukur dan Alhamdulillah kerana mereka percaya kepada lagu-lagu saya dan bermanfaat buat mereka," ujarnya.
Album yang diterbitkan oleh Tombo Ali Production dan diedarkan oleh Inteam Records dengan kerjasama Sony Music Malaysia ini, telah pun berada di pasaran Malaysia.
Selain itu, peminat-peminat Opick turut boleh dapatkan album ini melalui atas talian di www.inteammobile.com dengan harga hanya RM25.90.