Pelajar Asrama UIA Hilang Tempat Tidur Sebab Bomba Lambat






Orang ramai melihat bangunan asrama lelaki Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa yang terbakar di Petaling Jaya, semalam.
KUALA LUMPUR 26 Jun - Seramai 800 penghuni asrama lelaki Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) , Seksyen 16, Petaling Jaya dekat sini cemas apabila sebuah stor di tingkat satu bangunan lima tingkat yang didiami mereka musnah dijilat api hari ini.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu. Ia hanya memusnahkan tilam-tilam serta perabot lama yang disimpan di dalam stor berkenaan.
Timbalan Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.02 petang dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara dan Seksyen 7, Petaling Jaya telah tiba sembilan minit kemudian.
"Kebakaran berlaku di ruangan menyimpan tilam. Api berjaya dipadamkan pada pukul 3.46 petang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Sani berkata, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, jurucakap Bahagian Perhubungan dan Komunikasi Korporat UIAM berkata, semasa kejadian, kebanyakan penghuni asrama Mahallah Abu Bakar itu sedang menghadiri kelas manakala pelajar yang berada di dalam bangunan itu pula berjaya menyelamatkan diri setelah mendengar loceng kecemasan.
Katanya, buat masa ini, penghuni asrama berkenaan tidak dipindahkan ke bangunan lain kerana insiden tersebut tidak menjejaskan bilik penginapan pelajar kecuali mereka yang tinggal di tingkat satu akan dipindahkan ke tingkat atas.
"Ibu-bapa tidak perlu risau dengan keadaan anak-anak mereka kerana pihak universiti sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan yakin bangunan berkenaan masih selamat untuk didiami," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.