Coli Indonesia Tertinggal Di Loteng Dikejar Penguatkuasa






FotoWANITA warga Indonesia yang ditemui di atas loteng yang dihuni seorang lelaki.



Jitra: Penemuan sehelai coli dalam sebuah rumah dihuni seorang lelaki warga Indonesia membongkar kehadiran seorang wanita yang ditemui bersembunyi di atas loteng dalam serbuan Jabatan Imigresen Kedah di Kampung Teluk Nibung, di sini, awal pagi semalam.
Difahamkan, pada mulanya lelaki berusia 40 tahun itu mendakwa tinggal bersendirian di rumah sewa berkenaan sebelum anggota penguat kuasa menggeledah berikutan menemui pakaian dalam wanita.
Timbalan Penolong Pengarahnya Othman Mat berkata, pemeriksaan mendapati wanita berusia 30-an itu ditemui dalam keadaan berkemban bersembunyi atas loteng bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana menetap lebih masa di mana boleh didenda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Kami juga menahan lelaki yang tinggal bersama wanita terbabit atas kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(d) akta sama kerana melindungi warga asing.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM50,000 bagi setiap orang yang dilindungi,” katanya.
Dalam operasi selama empat jam bermula jam 12 tengah malam disertai 10 anggota penguat kuasa terbabit membuat pemeriksaan ke atas 20 warga asing terdiri daripada warga Indonesia di tiga lokasi berasingan termasuk sebuah bangunan rumah kedai di Alor Setar.
Othman berkata, pihaknya mendapati 18 daripadanya termasuk seorang kanak-kanak perempuan dikesan melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mengesan empat lelaki dan dua wanita termasuk seorang kanak-kanak didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.- Kredit Harian Metro