Erin Malek Suka Lelaki Matang Seperti Farriz Fauzy







Mendirikan rumah tangga pada usia muda barangkali bukan keutamaan bagi wanita alaf ini terutama mereka yang bercita-cita tinggi. Tidak terkecuali golongan selebriti, selagi belum berada di puncak kejayaan, soal perkahwinan terpaksa ditolak tepi dulu.
Bagaimanapun, buat pelakon muda berkaliber Nur Arina Abdul Malek atau Erin Malek, 20, dia sudah bersedia menempuh fasa baru dalam hidupnya selepas dipertemukan dengan lelaki idaman. Mengikat tali pertunangan kelmarin bersama ahli perniagaan Farriz Fauzy, 30, beza umur antara mereka berdua bukanlah isu utama.

Mereka mula berkenalan Disember tahun lalu sebelum bertukar nombor dan menyulam cinta sejak Januari tahun ini. Meskipun usia perkenalan mereka sangat singkat, Erin nekad menamatkan zaman bujangnya selepas dilamar Farriz.

Farriz menepati ciri lelaki yang saya cari selama ini dan kematangannya membuatkan saya selesa bersamanya. Susah nak cari lelaki sesuai seperti dia yang matang, malah sangat memahami diri serta kerjaya saya.

“Justeru, kenapa saya perlu menolak cintanya kerana saya sendiri sudah bersedia untuk menempuh alam perkahwinan meskipun usia saya masih muda. Mengenai kerjaya pula, kami tidak ada isu besar kerana masing-masing saling memahami.

“Menjelang hari bahagia kami nanti tidak dinafikan pasti ada pelbagai rintangan, namun kami yakin dan percaya akan menempuhnya dengan tabah,” kata pelakon Misiku Kuza itu.

Pada majlis sederhana yang berlangsung di kediaman ibunya di Duta Suria Residency, Ampang, tarikh pernikahan ditetapkan terus di mana Erin dan Farriz bakal disatukan pada 10 Oktober ini. Majlis itu dirancang akan diadakan di tempat sama kelak.

Anggun dan berseri dalam persalinan Azura Couture pada majlis dihadiri kira-kira 150 ahli keluarga kedua pihak itu, menurut Erin lebih membuatkannya yakin untuk menerima lamaran itu apabila tunangnya tanpa berselindung menyatakan hasrat di hatinya.

“Farriz seorang yang ‘straight-forward’ dan apa saja yang terlintas di hatinya dia terus bertanya kepada saya. Menurut perancangan awal, sepatutnya kami sekadar mahu mengadakan majlis merisik, namun akhirnya keluarga memutuskan lebih baik terus mengikat tali pertunangan,” katanya.

Mula berkenalan menerusi kawan-kawan, Farriz akhirnya memberanikan diri mengajak pelakon itu keluar. Tidak mengambil masa yang lama, hatinya terpaut dengan kematangan Erin meskipun dia baru berusia 20 tahun.

“Untuk usia sebegitu, saya amat kagum dengan kematangan yang ada padanya meskipun ada kalanya terserlah juga sifat kebudak-budakannya. Dia jenis mudah memahami dan pendek kata, saya selesa serta serasi dengannya.

“Bahkan, saya mengambil keputusan untuk menonton semua lakonannya juga demi mengenali lebih banyak mengenainya. Pada perspektif saya apabila menilai lakonannya, bukan soal bagus atau tidak, namun tawaran yang masih diberikan buatnya,” ujar Farriz.

Berkonsepkan tema ‘Fairy Blossom’, pada acara yang berlangsung sekitar 8.45 malam itu, kedua-dua pihak berbalas dulang hantaran di mana lima daripada pihak lelaki termasuklah tapak sirih dan cincin, sirih junjung, kain, telekung dan kek manakala pihak perempuan membalas tujuh dulang iaitu tapak sirih, cincin, kain, set wangian, buah-buahan dan dua dulang manisan.

Turut hadir memeriahkan majlis itu rakan artisnya, Fasha Sandha, Arja Lee, Shima Anuar, Sherry Alhadad, Zulyn Aziz dan Faralyna Idris.


Minta doa dan berkat

Kembali membina nama selepas selesai alam persekolahan, nama Erin yang masih kuat dalam industri tidak sukar buatnya meraih perhatian produser membintangi drama mahupun filem.

Tampil menerusi filem Awak Nak Kahwin Dengan Saya? sebagai watak utama baru-baru ini juga jadualnya semakin padat, apatah lagi selepas dia memenangi program realiti Fear Factor Malaysia musim kedua.

Lantas, mengambil keputusan mengakhiri zaman bujangnya pada usia muda menimbulkan persoalan bagaimana agaknya perjalanan karier seni pelakon itu selepas ini. Akuinya, hal itu tidak akan menjejaskan kerjaya lakonannya memandangkan dia akan terus berlakon.

Apapun, sudah bergelar isteri orang kelak, ditanya kepada Farriz sendiri adakah dia menetapkan apa-apa syarat kepada Erin, namun menurutnya, dia serahkan sepenuhnya kepada pelakon itu kerana cukup mempercayainya.

“Saya tiada sebarang halangan terutamanya dalam bidang seni sendiri terpulang kepadanya. Saya yakin dan percaya dia pandai menjaga dirinya dengan baik.

“Bahkan dia sendiri yang menetapkan untuk menjaga batas lakonannya kelak apabila kami sudah berkahwin. Faham dengan situasi di mana akan ada yang cuba menjatuhkannya, saya tidak risau kerana saya lebih kenal dia,” katanya.

Selesai majlis pertunangan, Erin akan terus sibuk membuat persiapan hari pernikahannya pula.

“Saya sangat bersyukur kerana majlis hari ini berjalan lancar. Kepada peminat di luar sana, doakan jodoh kami berkekalan sampai ke akhir nyawa,” katanya.